UTP di kedudukan 300 terbaik QS World University Ranking 2025

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Universiti Teknologi Petronas (UTP) memperoleh pencapaian mengagumkan dengan menduduki tangga ke-269 dalam QS World University Rankings 2025, melonjak 38 anak tangga berbanding tempat ke-307 sebelum ini.

UTP dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai institusi terkemuka di persada dunia dan meneruskan trajektori luar biasa dalam pendidikan tinggi global sejak lapan tahun lepas.

Daripada 5,663 universiti yang dinilai dalam penarafan QS tahun ini, prestasi luar biasa UTP meletakkannya antara 18 peratus terbaik di dunia sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam kalangan elit.

Pencapaian itu turut memperlihatkan komitmen padu universiti terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan termaju dan memupuk persekitaran pembelajaran yang bertenaga.

Naib Canselor UTP, Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, pencapaian berkenaan satu penghormatan luar biasa buat seluruh komuniti UTP serta membuktikan usaha gigih fakulti, kakitangan, pelajar dan alumni.

"Kami juga merakamkan penghargaan ikhlas kepada Petronas, rakan kongsi industri dan rakan usaha sama akademik atas peranan penting mereka dalam kejayaan UTP,” katanya dalam kenyataan itu.

Peningkatan kedudukan UTP dalam penarafan QS juga mencerminkan dedikasi teguh terhadap kecemerlangan sejak mula memulakan perjalanan luar biasa pada 2016.

UTP juga berada pada rangking utama dalam Times Higher Education (THE) Asia dan Young University Rankings menyaksikan masing-masing di kedudukan ke-52 dan ke-32 sekali gus menjadikannya universiti nombor satu di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian dalam penarafan itu turut memperlihatkan usaha berterusan UTP dalam menawarkan pengalaman pendidikan bertaraf dunia, memupuk penyelidikan yang memberi impak dan melahirkan graduan yang menjadi rebutan industri terkemuka di seluruh dunia.

Di samping itu, universiti juga aktif memperjuangkan visi Petronas untuk masa depan yang mampan dengan menerapkan prinsip kelestarian di setiap kurikulum universiti, usaha penyelidikan dan pengalaman pelajar.

Mohamed Ibrahim berkata, pendekatan komprehensif itu melengkapkan graduan dengan kepakaran untuk membangunkan penyelesaian inovatif, memupuk budaya kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar yang akhirnya menyumbang kepada matlamat kolektif bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

"UTP berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan utama dalam usaha ini. Tumpuan utama kami pada disiplin sains, kejuruteraan serta teknologi yang penting untuk pemajuan penyelesaian mampan dan komitmen ini meletakkan UTP di barisan hadapan dalam membangunkan penyelesaian bagi masa depan yang lebih hijau.

"Kami mempelawa bakal pelajar serta penyelidik yang berkongsi wawasan yang sama demi masa depan yang mampan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program UTP dan menyertai kami dalam memberi impak positif,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!