Nilai semula harga tanah di Kampung Sungai Baru - Khalid Samad
KUALA LUMPUR - Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kezaliman ke atas pemilik hartanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang terlibat bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.
Menurutnya, kerana itu kerajaan perlu melaksanakan penilaian semula harga tanah dengan lebih adil berbanding RM450 hingga RM500 bagi setiap kaki persegi yang tawarkan kepada lebih 100 pemilik kediaman flat dan teres terlibat.
"Sejak awal saya menentang penggunaan akta pengambil tanah ini tetapi akhirnya kerajaan campur tangan dengan menggunakan akta ini.
"Sepatutnya menjadi tanggungjawab pemaju untuk runding harga atau pampasan berdasarkan persetujuan pemilik.
"Oleh kerana itu, kalau berlaku kezaliman bukan salah pemaju tapi salah kerajaan sebab dah campur tangan," katanya pada sidang media bersama pemilik hartanah terlibat di sini pada Rabu.
Ia susulan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada 27 Mei lalu melibatkan Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru.
Pada November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru tidak lagi ditangguhkan selepas tertangguh selama enam tahun.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada April mencadangkan pemaju projek itu menyerahkan semula tanah pembangunan kepada syarikat pemaju yang berpotensi menyelesaikan projek tersebut.
Katanya, pembangunan di kawasan itu tergendala susulan terdapat lima peratus penilik pangsapuri belum berpindah, manakala 95 peratus sudah berpindah dan menunggu rumah baharu daripada pemaju.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, pada pertemuan bersama Zaliha, beberapa isu dibangkitkan wakil pemilik hartanah agar kerajaan memberi perhatian terhadap nasib penduduk yang masih tinggal di kawasan itu.
Katanya, nasib kira-kira 34 unit teres yang tidak terlibat secara langsung dengan projek pembangunan semula itu juga perlu diambil kira.
"Bagi penduduk terlibat, mereka bukannya bantah, tapi isunya nilai harga tanah ditetapkan sangat rendah. Sedangkan kawasan ini adalah paling strategik. Jangan layan mereka seperti penduduk setinggan.
"Pemilik teres yang tidak terlibat pula berdepan masalah semasa pembinaan dan selepas projek siap. Tanah kecil susah buat pembangunan akhirnya nilai akan jatuh," katanya.
Tambah beliau lagi, penduduk yang belum berpindah juga memohon agar kerajaan memberi kebenaran mereka tinggal di situ selagi projek belum bermula.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!