HUSM bantu 90 kanak-kanak sakit jantung
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) melalui program kebajikan kardiotorasik 'Healing Little Heart' (HLH) dari United Kingdom (UK) telah membantu memberi kehidupan baharu kepada 90 kanak-kanak menghidap penyakit jantung di Kelantan dan Terengganu menerusi pembedahan yang hanya menelan kos kurang daripada RM3,000.
Program yang diperkenalkan sejak September 2015 itu turut memberikan pembedahan percuma kepada pesakit terpilih walaupun kos sebenar (kos alatan dan ubatan) untuk setiap pembedahan adalah lebih tinggi sehingga mencecah lebih dari RM20,000.
Pengarah Program Kebajikan Kardiotorasik HUSM-HLH 2024, Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata, lebih daripada 100 pembedahan melibatkan 90 pesakit telah dilakukan sejak kunjungan pertama pasukan perubatan HLH pada tahun 2015 dan kini telah masuk tahun ke-10 siri lawatan mereka ke hospital berkenaan.
"Pada sesi lawatan kali ini, pasukan perubatan HLH disertai enam orang terdiri daripada pakar bedah, pakar intensivis, pakar kardiologi pediatrik, jururawat dan perfusionis.
"Mereka akan bergabung dengan pakar-pakar dan kakitangan HUSM untuk menjayakan program ini," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Rabu.
Hadir sama ialah, Pakar Kardiologi Kanak-kanak Hospital Glenfield, Leicester, UK, Dr Haris Kotidis.
Menurut Dr Mohd Rizal, program yang dijadualkan berlangsung selama lima hari itu akan melibatkan lapan hingga 10 pesakit yang berusia seawal tiga minggu hingga lapan tahun.
Ujar Pakar Kardiologi Pediatrik itu, pesakit kanak-kanak yang terpilih menjalani pembedahan jantung melalui program ini tidak perlu lagi dirujuk atau dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan.
"Ini sekali gus membantu mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan pembedahan jantung," katanya.
Tambahnya, HUSM merupakan satu-satunya hospital yang mempunyai kepakaran menjalankan pembedahan jantung kanak-kanak di Pantai Timur.
"Kerjasama yang dijalankan ini memberi pendedahan kepada pasukan perubatan HUSM dalam merawat kes-kes yang lebih kompleks," katanya.
Menurut beliau, program tersebut turut mendapat sokongan daripada Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS), Persatuan Alumni Doktor USM (PADU), Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM), 'Ronald McDonals House Charity' (RMHC) dan orang perseorangan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!