'Ayah sempat buat panggilan video bersama cucu' - Anak Pyanhabib

Jenazah penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib tiba di Masjid As Sobirin, Lembah Keramat pada Rabu. Foto Bernama
Jenazah penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib tiba di Masjid As Sobirin, Lembah Keramat pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] "AYAH sempat buat panggilan video dengan saya dan cucunya semasa Maghrib," kata anak sulung kepada pelakon dan penyair Allahyarham Pyanhabib.

Najihah Mohd Sypyan berkata, ketika itu dia melihat keadaan bapanya sangat lemah, malah ibunya, Zurina Zakaria turut memaklumkan mata ayah juga sudah tidak nampak.

Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9 malam di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor pada Selasa.

Najihah berkata, dia hanya mengetahui pemergian bapanya itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dihubungi ibu.

Najihah Mohd Sypyan
Najihah Mohd Sypyan

"Ketika dihubungi ibu, saya sedang menikmati makan malam dan terus bergegas pulang ke Lembah Keramat.

"Ibu yang hanya cakap ‘balik’ tanpa memberi penjelasan apa-apa. Jadi, saya terus bergegas pulang.

“Saya tak tahu apa yang terjadi di rumah sebab ada dua orang yang sakit iaitu ayah dan nenek. Cuma ketika dalam perjalanan pulang, kawan ayah ada telefon dan beritahu ayah sudah tiada,” katanya.

Bercerita lanjut, Najihah berkata, ibunya sempat membawa arwah bapanya ke klinik pada sebelah siang disebabkan bapanya mengalami kaki bengkak, perut kembung dan batuk.

Artikel Berkaitan:

“Doktor cadang rujuk ayah ke hospital tetapi minta pantau dulu dalam masa dua atau tiga hari.

“Selepas Maghrib, keadaan ayah dilihat semakin lemah,” ujarnya.

Allahyarham Pyanhabib meninggal dunia seminggu selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-66 tahun.

Jenazah dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang pada jam 9 pagi, Rabu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pada jam 11.30 pagi.

Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.

Pyanhabib
Pyanhabib

Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buku.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.

Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Di pentas lakonan, Pyanhabib berjaya membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham adalah Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).

Pyanhabib pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah, namun beliau menolak penganugerahan berkenaan di Festival Filem Malaysia ke-7.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!