Piala FA: MFL diminta pertimbang ubah masa sepak mula

Satu kerugian buat MFL dan KDA FC jika ramai penyokong Sang Kenari memilih tidak hadir pada aksi Piala FA di Stadium Darul Aman pada 14 Jun ini. Foto KDA FC
Satu kerugian buat MFL dan KDA FC jika ramai penyokong Sang Kenari memilih tidak hadir pada aksi Piala FA di Stadium Darul Aman pada 14 Jun ini. Foto KDA FC
A
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) diminta untuk mempertimbangkan kembali masa sepak mula perlawanan pusingan 16 Piala FA 2024-2025 di antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Bukit Tambun (BT) FC pada jam 6.30 petang di Stadium Darul Aman pada 14 Jun ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda), Nor Hasmadi Hamzah berkata, rata-rata penyokong Sang Kenari tidak bersetuju dengan masa tersebut kerana perlawanan berlangsung hampir dengan waktu Maghrib.

Menurutnya, biarpun stadium tersebut disediakan kemudahan surau, namun tempoh masa yang singkat selepas tamat separuh masa pertama akan memberikan kesukaran kepada penyokong untuk menunaikan solat Maghrib.

“Seeloknya perlawanan ini diawalkan pada jam 5 petang ataupun dilewatkan pada jam 8.15 malam untuk memberikan ruang dan masa kepada penyokong.

“Kami bimbang jika masa diteruskan pada jam 6.30 petang, mungkin ramai akan buat keputusan untuk tidak datang ke stadium khususnya penyokong yang beragama Islam.

“Jika ini berlaku, jelas satu kerugian buat KDA FC sendiri yang perlukan kehadiran penyokong untuk memenuhi Stadium Darul Aman termasuk untuk membantu menjana kantung kelab itu sendiri. MFL perlu pertimbangkan perkara ini,” katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelas Nor Hasmadi, penyokong Sang Kenari sentiasa berusaha untuk membantu menjana kewangan kelab kesayangan mereka termasuk menyambut seruan pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dengan hadir ke stadium.

Pada Selasa, MFL telah mengemas kini jadual perlawanan Piala FA bagi perlawanan Kuala Lumpur City FC menentang Kuching City FC yang dijadualkan pada 13 Jun, jam 9 malam kepada 14 Jun, jam 6:30 petang.

Artikel Berkaitan:

Kemas kini ini adalah disebabkan tujuh pemain Kuala Lumpur City FC termasuk pemain import dan satu pemain Kuching City FC yang dipanggil oleh Pasukan Kebangsaan dan atas persetujuan bersama kedua-dua pasukan.

Selain itu, MFL juga telah mengumumkan pertukaran waktu sepak mula bagi perlawanan KDA FC menentang BT FC kepada jam 6:30 petang dan perlawanan Sabah FC menentang Kuala Lumpur Rovers FC kepada jam 8:15 malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!