RedONE Mobile, SUKA perkasa pendidikan kanak-kanak Orang Asli Sungai Poh
SHAH ALAM - Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), redONE Network Sdn Bhd (redONE Mobile) menerusi kolaborasi Persatuan Kebajikan Suara Kanak-Kanak Malaysia (SUKA) sedia memberi sokongan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif untuk kanak-kanak prasekolah di perkampungan Orang Asli di Sungai Poh di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif redONE Mobile, Ameen Amaendran berkata, pihaknya berhasrat untuk memperkasakan kanak-kanak komuniti Orang Asli dengan peralatan dan kemahiran yang diperlukan bagi memupuk pertumbuhan mereka sekali gus membimbing ke arah masa depan lebih cerah.
“RedONE Mobile teruja untuk bekerjasama dengan SUKA untuk program ‘Empowered 2 Teach’ dan menyumbang ke arah pembangunan pendidikan untuk komuniti anak-anak Orang Asli Sungai Poh.
“Kita percaya kepada kuasa pendidikan dalam mengubah kehidupan dan semua kanak-kanak berhak mendapat peluang dan akses yang sama, justeru kita berdedikasi untuk menyokong inisiatif mewujudkan impak yang berkekalan seperti ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar Ameen, melalui kolaborasi tersebut, redONE Mobile telah memulakan fasa awal penglibatannya dengan menggerakkan 17 sukarelawan yang terdiri daripada pekerjanya ke sekolah untuk program selama dua hari itu.
Menurutnya, pelbagai aktiviti dilakukan termasuk kerja baik pulih, gotong-royong, pemasangan peralatan pendidikan baharu dan penyerahan sumbangan terdiri daripada mainan serta bahan pengajaran.
“Kanak-kanak turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan pada hari kedua yang merangkumi pertandingan ‘Pakaian Hari Raya Terbaik’ dan pertandingan melukis di mana pemenang akan menerima hadiah-hadiah menarik.
“Melalui kerjasama ini, redONE Mobile menunjukkan komitmennya untuk memberi impak positif dalam kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!