Malaysia satu-satunya negara ASEAN catat aliran masuk asing bersih lebih RM1 bilion pada Mei

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA merekodkan aliran masuk ekuiti asing bersih melebihi RM1 bilion pada Mei 2024, menjadikannya satu-satunya negara ASEAN pada bulan itu yang mencapai kejayaan ini, demikian menurut AmInvestment Bank Bhd.

Rantau ASEAN mencatat aliran keluar ekuiti asing bersih sebanyak RM635 juta, berbanding RM8.8 bilion pada April 2024, menjadikan jumlah aliran keluar tahun ini sehingga kini sebanyak RM12.6 bilion, kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Bulan lepas, Indonesia mencatatkan aliran keluar asing bersih berjumlah RM881 juta, diikuti Vietnam RM613 juta, Thailand RM455 juta dan Filipina RM174 juta.

"Memandangkan ringgit meningkat 1.3 peratus pada Mei, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) juga turut meningkat apabila pelabur asing kembali membuat pembelian sebanyak RM1.5 bilion, manakala institusi tempatan menjadi penjual bersih sebanyak RM978 juta.

"38 peratus daripada pembelian asing bersih pada Mei adalah dalam sektor teknologi, diikuti penjagaan kesihatan (25 peratus), hartanah (15 peratus) dan pembinaan (13 peratus),” katanya.

Bank pelaburan itu berkata, dengan sokongan daripada aktiviti pembelian institusi asing, yang melebihi jualan tempatan, FBM KLCI mencatatkan kenaikan tahun ini sehingga kini sebanyak +9.8 peratus berbanding Filipina -0.3 peratus, Indonesia -4 peratus dan Thailand -5 peratus.

Bagaimanapun, menghala ke minggu terakhir Mei, pelabur asing kembali mencatatkan jualan bersih sebanyak RM1.3 bilion, sebahagiannya diimbangi oleh pembelian institusi tempatan sebanyak RM1.1 bilion kata AmInvestment Bank.

Sementara itu, bank pelaburan tersebut berkata ia telah menaikkan sasaran asas akhir tahun 2024 FBM KLCI kepada 1,635 (daripada 1,550 sebelumnya), didorong oleh mudah tunai domestik yang kukuh di tengah-tengah sentimen positif daripada pengumuman pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun dengan sasaran KLCI yang lebih tinggi, kami tetap berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, harapan pudar penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, yang mana akan mencetuskan kemeruapan merentas semua pasaran, dan penggunaan domestik yang sederhana di tengah-tengah peningkatan inflasi domestik daripada rasionalisasi subsidi yang disasarkan pada akhir tahun.

"Pada pandangan kami, risiko penurunan ini sebahagiannya boleh dikurangkan dengan menambah baik kecairan institusi tempatan, manakala ekuiti Malaysia menawarkan prospek pendapatan korporat yang baik, hasil dividen yang menarik sebanyak empat peratus dan pegangan saham asing yang rendah sebanyak 19.6 peratus di tengah-tengah jangkaan pelancaran infrastruktur yang dipertingkatkan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!