Siling, dinding SMK Gadong reput akibat bumbung bocor

Adnan menunjukkan keadaan siling kelas mereput disebabkan atap bocor membabitkan bangunan yang menempatkan kelas Tingkatan Enam dan sebahagian bilik guru.
Adnan menunjukkan keadaan siling kelas mereput disebabkan atap bocor membabitkan bangunan yang menempatkan kelas Tingkatan Enam dan sebahagian bilik guru.
A
A
A

BEAUFORT - Ibu bapa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, menyuarakan kebimbangan berikutan bangunan yang menempatkan kelas pelajar Tingkatan Enam dan sebahagian bilik guru kini dalam keadaan usang.

Tinjauan Sinar Harian ke sekolah itu mendapati keadaan bumbung bangunan dua tingkat yang bocor selain ada beberapa kelas terpaksa dikosongkan kerana dinding dan siling mulai mereput akibat terkena hujan.

Lebih membimbangkan tempat bilik suis utama elektrik di tingkat bawah bangunan tersebut turut bocor dan air hujan akan mengalir sekali gus membahayakan pelajar serta guru.

Bilik suis utama juga turut terkena air jika cuaca hujan dan air akan mengalir dari atas bangunan tersebut.
Bilik suis utama juga turut terkena air jika cuaca hujan dan air akan mengalir dari atas bangunan tersebut.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Gadong, Adnan Musleh berkata, pihaknya menyedari keadaan itu sudah berlarutan sejak setahun lalu.

Adnan
Adnan

"Pihak PIBG sudah mengambil tindakan dengan membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Selain itu, ada juga lawatan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengatakan bangunan ini sudah tidak selamat untuk digunakan tetapi disebabkan tiada kelas yang kosong menyebabkan pelajar terpaksa ditempatkan di bangunan ini juga," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, kerosakan dihadapi amat teruk termasuk bumbung melibatkan kelas Tingkatan Enam, surau dan paling dibimbangi bilik suis utama di bangunan terbabit.

"Situasinya memang teruk di mana atap bumbung sudah tiada ditiup angin dan air hujan menitis sehingga ke bilik suis utama yang terletak di tingkat bawah.

"Kita tidak mahu sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap pelajar," katanya.

Tambah Adnan, keselesaan pelajar ketika mengikuti aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) juga harus diambil kira.

"Disebabkan keadaan siling yang mereput, terdapat bau yang kurang menyenangkan di dalam kelas terutama pada waktu hujan.

Siling bangunan sekolah mula mereput akibat bumbung bocor.
Siling bangunan sekolah mula mereput akibat bumbung bocor.

"Sudah tentu ini akan menganggu sesi pembelajaran pelajar di kelas tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera menyelesaikan masalah bangunan yang dikategorikan sudah tidak selamat untuk pelajar.

"Difahamkan, pihak PPD sudah mengajukan perkara ini kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) namun masih tiada sebarang tindakan.

"Jadi kami memohon KPM pula mengambil apa juga inisiatif mengenai perkara ini. Kalau bangunan masih kukuh dan boleh dibaik pulih, harap ia dapat dilakukan secepat mungkin.

Siling bangunan sekolah mula mereput akibat bumbung bocor.
Siling bangunan sekolah mula mereput akibat bumbung bocor.

"Kerana kemasukan pelajar Tingkatan Enam baharu akan bermula jadi akan ada pertambahan murid di mana sudah tiada kelas untuk menampung pelajar tersebut," katanya.

Untuk rekod, terdapat hampir 50 pelajar Tingkatan Enam belajar di sekolah tersebut dan sebahagian biliknya turut menempatkan guru-guru yang mengajar pelajar berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!