Duit KWSP habis tanggung rawatan kanser, pengajian PhD
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang menghidap kanser ovari kini menanggung derita apabila duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah habis digunakan bagi menampung yuran pengajian tinggi dan kos rawatan pembedahan.
Lebih memeritkan, Harniza Abd Razak, 46, perlu menjana pendapatan untuk menampung kos perubatan di samping perlu membeli lampin pakai buang yang digunakan pada setiap hari.
"Duit KWSP habis digunakan untuk membayar yuran pengajian Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selain perlu menanggung hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) ketika melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda sebelum ini.
"Duit KWSP itu juga digunakan untuk membayar pembedahan kanser ovari. Kos yang digunakan untuk membayar hutang pengajian dan pembedahan itu menelan puluhan ribu ringgit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Harniza menyatakan keadaan kesihatannya ketika ini semakin merosot susulan penyakit kanser tersebut.
"Daya ingatan saya tak beberapa baik ketika ini kerana sekarang mengalami sakit otak malah pendarahan otak semakin teruk.
"Makanan pun tak boleh masuk apa-apa dalam mulut sebab nanti muntah. Saya juga perlu kerap tukar lampin," ujarnya.
Harniza yang tinggal di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai di sini mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhamad Hussin Md Zin, 43, yang bekerja sebagai imam masjid ketika dia terlantar sakit pada 31 Ogos 2020.
Harniza berkata, keadaan kesihatannya ketika ini menyebabkan dia sukar mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kudratnya.
Menurutnya, walaupun diuji dengan penyakit strok, namun anak bongsu daripada enam beradik itu tidak sesekali patah semangat untuk teruskan kehidupan meskipun kini kehabisan wang KWSP.
"Saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT diuji sebegini. Dalam tempoh yang sukar ini saya perlu berjuang untuk teruskan kehidupan.
"Saya tetap bersyukur... nasihat kepada golongan yang senasib dengan saya di luar sana. Jangan pernah berputus asa dan tetaplah berusaha mengatasi segala rintangan yang dihadapi kerana pertolongan ALLAH itu sentiasa ada," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!