Kelantan bakal ada lebihan air 200 JLH
KOTA BHARU - Kelantan bakal memiliki lebihan pengeluaran bekalan air sebanyak 200 juta liter sehari (JLH) pada 2028.
Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, penghasilan lebihan air itu dijangka berlaku apabila sembilan loji rawatan air (LRA) tambahan siap di negeri ini.
“Sekarang ini Kelantan ada LRA berjumlah 42 dan pada 2028 kami jangka siap sembilan lagi loji menjadikan keseluruhannya 51 loji.
“Kapasiti air pada masa itu boleh mengeluarkan sebanyak 880 JLH berbanding keperluan pada waktu tersebut sebanyak 660 JLH dan dijangkakan mempunyai lebih pengeluaran air di loji-loji sebanyak 200 JLH,” katanya pada Persidangan Kali Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bagi Tahun 2024 di Kompleks Darulnaim di sini pada Rabu.
Namun demikian, menurut beliau, Kelantan mempunyai masalah kadar air tidak berhasil (NRW) dengan catatan semasa sebanyak 52 peratus dan jika kadar itu kekal, air tidak akan sampai kepada pengguna kerana separuhnya keluar.
“Jadi, perlu berusaha supaya NRW turun kepada sasaran SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) iaitu sebanyak 35 peratus.
“Jika NRW 35 peratus, Kelantan masih lagi kekurangan air kira-kira 100 JLH dan paip-paip retrikulasi juga akan bermasalah untuk air sampai kepada pengguna,” katanya.
Dr Izani menambah, pihaknya melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berusaha sedaya mungkin dengan kekangan yang ada untuk mencukupkan air ke seluruh Kelantan termasuk bersedia menghadapi peningkatan penggunaan bekalan asas itu apabila siapnya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini.
“Mengikut kiraan awal, Kelantan perlu menambah sekurang-kurangnya empat loji air yang berkapasiti 50 juta JLH menjelang 2050 dan Menteri Besar Kelantan meletakkan perkhidmatan air adalah keutamaan negeri ini.
“Sehubungan itu budaya kerja akan ditingkatkan dan potensi-potensi hubungan baik antara Kelantan dengan Perdana Menteri akan dilihat termasuk mengusahakan geran bagi meningkatkan sumber air memandangkan Kelantan satu-satunya negeri yang tidak pernah menerima geran daripada Persekutuan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!