Kontena Israel di Iskandar Puteri hanya transit, tak masuk Malaysia - JKDM

JKDM Negeri Johor mengesahkan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel yang berada di pelabuhan sekitar Iskandar Puteri merupakan kontena muatan pindah kapal (transhipment). Gambar hiasan
JKDM Negeri Johor mengesahkan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel yang berada di pelabuhan sekitar Iskandar Puteri merupakan kontena muatan pindah kapal (transhipment). Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor mengesahkan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel yang berada di pelabuhan sekitar Iskandar Puteri merupakan kontena muatan pindah kapal atau transhipment.

Pengarah JKDM Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, transhipment kontena adalah proses pergerakan barang yang dibenarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

“Pihak berkuasa pelabuhan berkaitan telah mengesahkan bahawa kontena tersebut merupakan kontena muatan pindah kapal (transhipment) iaitu satu proses pergerakan barang yang dibenarkan oleh MOT.

“Sebagaimana proses transhipment biasa, kargo akan bergerak dari pelabuhan berlepas ke pelabuhan destinasi melalui pelabuhan ketiga dalam jadual perjalanan dan kontena tersebut akan transit (sementara) di pelabuhan ketiga dan akan ke destinasi seterusnya (negara lain)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Aminul Izmeer berkata, hasil semakan turut mendapati tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia sama ada melalui pintu keluar atau pintu masuk (import dan eksport) menggunakan kontena syarikat perkapalan tersebut.

"Pelabuhan berkenaan merupakan pelabuhan kedua di negeri Johor dan telah diwartakan sebagai Zon Perdagangan Bebas di bawah Akta Zon Bebas 1990.

"JKDM Johor sentiasa memastikan kawalan yang sempurna di pintu keluar dan pintu masuk negara bagi urusan import atau eksport termasuk menguatkuasakan larangan import atau eksport kontena milik syarikat perkapalan dari Israel oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia," katanya.

Untuk rekod, pergerakan dalam zon bebas adalah tertakluk kepada Akta Zon Bebas 1990, dan dalam kawalan pihak berkuasa yang hak di zon bebas tersebut dan dalam konteks ini pihak berkuasa zon adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!