Lebih 100,000 daftar perniagaan menerusi SPPP hingga April

Ahmad Sabki (kiri) melawat reruai dari pelbagai agensi kerajaan selepas Perasmian Program Bimbingan Usahawan 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina hari ini. Foto Bernama
Ahmad Sabki (kiri) melawat reruai dari pelbagai agensi kerajaan selepas Perasmian Program Bimbingan Usahawan 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan 110,004 peniaga mendaftarkan perniagaan menerusi Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) sejak ia diperkenalkan pada 2020 hingga 30 April lepas.

Pengerusinya, Ahmad Sabki Yusof berkata, jumlah itu terdiri daripada 53,421 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa dan 56,583 usahawan kumpulan B40.

Menurutnya, SSM memperkenalkan pelbagai insentif bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan pendaftaran, strategi perniagaan dan kaedah pemasaran digital ke arah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi landskap perniagaan di negara ini.

"Insentif terbabit antaranya menawarkan golongan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui skim SPPP yang mengecualikan fi pendaftaran dan maklumat perniagaan.

"Bermula tahun lepas SPPP telah diperluas kepada pasangan suami dan isteri usahawan B40 untuk menggalakkan mereka menjadikan perniagaan sebagai satu daripada sumber pendapatan,” katanya kepada pemberita pada Program Bimbingan Usahawan 2024 (PBU24) di sini hari ini.

Ahmad Sabki berkata. memiliki entiti perniagaan yang sah penting untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan.

"Perniagaan yang sah juga memberi manfaat untuk usahawan merebut pelbagai bantuan, malah usahawan juga berpeluang menyertai latihan keusahawanan yang disediakan oleh kerajaan atau agensi-agensi berkaitan.

"Ia juga membolehkan akaun semasa perniagaan didaftarkan dengan mudah serta memberikan kebolehan mewujudkan kontrak atau perjanjian perniagaan dengan lebih lancar,” katanya.

Peniaga B40 daftar perniagaan tetap dapat bantuan kerajaan

Sementara itu, beliau berkata, golongan peniaga dalam kalangan B40 tidak perlu bimbang untuk tampil mendaftarkan perniagaan masing-masing kerana mereka tetap mendapat bantuan kerajaan yang lain.

Ahmad Sabki berkata, masih ada peniaga yang tidak berdaftar berikutan bimbang akan terkecuali daripada menerima bantuan kerajaan dan dikenakan cukai.

Bantuan kerajaan katanya, seperti Sumbangan Tunai Rahmah tidak tertakluk sama ada individu itu memiliki perniagaan atau tidak.

"Mitos atau kepercayaan ini perlu diperbetul supaya usahawan B40 tampil mendaftarkan perniagaan mereka dan tidak perlu bimbang dengan kelayakan untuk mendapatkan bantuan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bimbingan Usahawan 2024 (PBU24) Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata sejumlah 9.23 juta perniagaan, 1.5 juta pemerbadanan syarikat dan 38,673 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) direkodkan mendaftar dengan SSM setakat 30 April lepas.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, hanya 1.64 juta perniagaan, 674,687 pemerbadanan syarikat dan 34,865 PLT didapati aktif menjalankan perniagaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!