[VIDEO] Dipukul pengiring VIP: Pemandu e-hailing OKU dirakam keterangan lebih 4 jam

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dipukul pengawal peribadi rombongan kenamaan direkod keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.

Sesi rakaman keterangan melibatkan Ong Ing Keong, 46, dijalankan tiga pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dengan ditemani jurubahasa dan peguam Lawyers For Liberty (LFL) iaitu Latheefa Koya dan N Surendran.

Peguamnya, N Surendran berkata, sesi berkenaan melibatkan dua perkara iaitu situasi ketika di lokasi kejadian dan situasi ketika mangsa membuat laporan pertama dan kedua yang dibuat di Balai Polis Brickfields pada hari sama.

Ing Keong (tengah) bersama dan Surendran serta Latheefa Koya ketika sidang akhbar pada Rabu.
Ing Keong (tengah) bersama dan Surendran serta Latheefa Koya ketika sidang akhbar pada Rabu.

"Antara yang direkod keterangan melibatkan situasi di lokasi kejadian termasuk pelaku terbabit dan kejadian keseluruhan yang berlaku.

"Selain itu, rakaman keterangan dijalankan turut berkaitan ketika laporan polis yang pertama dibuat ketika petang hari kejadian dan selepas dia diminta untuk hadir pada malam hari untuk menarik laporan polis berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai proses rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

Katanya, pihaknya diberikan maklumat bahawa individu yang dipercayai memukul Ing Keong merupakan anggota PDRM bagaimanapun tiada butiran lanjut mengenainya.

Artikel Berkaitan:

"Kami cuma dimaklumkan bahawa individu terbabit merupakan anggota polis, itu sahaja, butiran lain kami tidak ada.

"Kemungkinan Ing Keong akan dipanggil semula oleh pihak polis memandangkan ia masih berjalan di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields manakala siasatan tatatertib dilakukan oleh JIPS," katanya.

Dalam sidang akhbar sama, Surendran menggesa agar kerajaan melihat semula penugasan kawalan pengiring melibatkan orang kenamaan.

"Tanggungjawab ketika menjalankan tugas (pengiring) bukan sekadar menjaga keselamatan individu kenamaan malah harus mementingkan keselamatan masyarakat.

"Selain itu, aspek lain perlu dilihat adalah dengan menempatkan jurubahasa bagi OKU bagi memudahkan laporan polis dibuat," katanya.

Terdahulu, Ing Keong tiba di pekarangan pintu hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 10.45 pagi.

Pada Rabu media melaporkan, pemandu kenderaan e-hailing terbabit mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara pada Selasa telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, individu berkenaan yang juga OKU telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.

Rusdi dalam kenyataan yang sama berkata, polis Kuala Lumpur telah menerima satu laporan polis pada 28 Mei lalu pada jam 1 tengah hari oleh pengadu yang merupakan seorang pemandu e-hailing.

Susulan itu pada Jumaat, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian itu dan mahu tindakan undang-undang diambil demi memberi keadilan kepada mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!