Gelombang PN akan kekalkan kemenangan di Sungai Bakap
ALOR SETAR - Gelombang Perikatan Nasional (PN) tidak pernah pudar sebaliknya akan meledak pada setiap kali berlakunya pilihan raya kecil (PRK).
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, momentum yang dibawa dari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) itu akan kekal dan kembali menghangatkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menurutnya, PN diyakini dapat mengekalkan kemenangan di DUN terbabit biarpun belum cukup sepenggal berkhidmat berbanding sebelum ini diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tiga penggal lalu.
“Saya optimis PN akan (kekal) menang di Sungai Bakap. Sekarang pun kita sudah bekerja (untuk kemenangan).
“Di Pulau Pinang, PN jarang sekali menang, dulu pembangkang hanya seorang. Sekarang ada tujuh wakil rakyat. Saya rasa mereka (Pakatan Harapan) yang ‘defensive’, kita (PN) akan mara lagi, tidak ada apa-apa yang merisaukan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Pada Jumaat, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dipetik berkata, gelombang PN yang melanda negara pada PRU15 dan PRN Pulau Pinang didakwa semakin pudar dan ia membuka peluang kepada calon PH untuk merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap.
Mujahid yakin calon PH mempunyai peluang cerah dalam PRK Sungai Bakap dan kerusi tersebut akan menjadi titik tolak kepada permulaan perpecahan gelombang PN.
Sanusi sebaliknya tegaskan, gelombang PN masih utuh dan yakin pengundi dari sebuah parti dalam gabungan PH juga akan memberi undi kepada calon PN.
“Saya yakin pengundi dari parti tersebut yang sekarang nampak ‘ruyup’, akan undi calon PN. Banyak isu di Pulau Pinang termasuk isu nasional dan kita akan bercakap tentang politik yang besar sebagai bahan kempen, bukan kepada hal peribadi orang.
“Kita mahu lihat politik negara sedang dipandu ke mana, menuju gaung atau apa? Jadi momentum sedia ada akan diteruskan, Pulau Pinang jiran kita saja, bersempadan Kulim, lalat dari Sungai Bakap terbang ke Kulim, lalat dari Kulim terbang pi Sungai Bakap, begitu dekat,” ujarnya.
Menteri Besar Kedah itu jelaskan, gabungan PH tidak memiliki momentum positif malah tiada gelombang dalam setiap PRK yang berlangsung.
“Mereka nampak gelombang PN pudar sebab saingan kita lagi pudar. Kalau pecut 100 kilometer sejam, saingan kita boleh pergi 30 kilometer sejam. Buat apa pulun 100, kita turunlah sikit supaya tak letih sangat.
“Prestasi mereka sangat teruk, kita tak payah pi laju-laju. Mereka mana ada gelombang apa pun, PN ada juga gelombang walaupun dikatakan pudar,” ujarnya.
Menurut Sanusi, kemenangan PH dalam beberapa PRK lepas tidak boleh dijadikan ukuran dalam berdepan saingan DUN Sungai Bakap.
“Mereka ukur macam mana? PRK Kuala Kubu Bharu tempat PH, dia cuma menang balik, itu normal. Bukan 'comeback' yang hebat. Kalau tempat itu PN menang sebelum ini dan kemudian dapat pada PH, baru kita pun naik serenyau (bimbang),” katanya.
Sanusi memaklumkan, beliau akan bertolak ke Kuala Lumpur petang ini untuk menghadiri mesyuarat parti di ibu negara bagi membincangkan persiapan PRK Sungai Bakap.
“Berkaitan calon kita akan bincang bersama parti komponen dulu, kita memang akan guna logo PN dalam PRK Sungai Bakap walaupun Pas yang bertanding di situ,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!