Malaysia beri sokongan terhadap perantara gencatan senjata

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia memberi sokongan penuh terhadap cadangan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) yang menyeru Israel dan Hamas memuktamad perjanjian gencatan senjata berkekalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AS perlu bertindak tegas terhadap keanguhan dan kedegilan rejim Zionis yang telah menyebabkan terlalu banyak bencana serta kesengsaraan.

"Kita bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri (untuk) memberi sokongan kepada Mesir, Qatar dan AS.

"Saya percaya ia lebih lunak berdasarkan apa yang saya pernah bincangkan dengan pimpinan Hamas," katanya kepada pemberita selepas meluncurkan Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di sini pada Rabu.

Ahad lalu, Qatar, Mesir dan AS yang menjadi pengantara gencatan senjata menyeru Israel dan Hamas untuk memuktamad perjanjian yang merangkumi prinsip digariskan oleh AS untuk gencatan senjata berkekalan.

Prinsip tersebut menggabungkan tuntutan semua pihak dalam satu perjanjian yang memenuhi pelbagai kepentingan dan akan membawa kelegaan segera kepada rakyat Gaza, tawanan dan keluarga mereka yang telah lama menderita.

Negara pengantara itu turut menekankan bahawa "perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis.”

Presiden AS, Joe Biden pada Jumaat minggu lalu berkata, Israel telah mengemukakan kepada Hamas, satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah dikepung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi hasratnya untuk meneruskan serangan ke atas Gaza sehingga mencapai semua matlamatnya.

Sementara itu, Anwar menerusi ucaptama di majlis tersebut mengajak golongan muda kembali ke landasan untuk mengangkat negara menerusi Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani.

Ujarnya, modul terbabit dirangka berteraskan prinsip Perlembagaan selain turut menghargai sumbangan pemimpin dan pejuang terdahulu.

"Saya mengajak rakan-rakan balik kepada landasan mahu mengangkat negara, mesti dengan keyakinan, mesti dengan semangat perpaduan, semangat kecintaan kepada negara serta keyakinan bahawa Malaysia ini mampu diangkat sebagai negara hebat di mata dunia," katanya.

Modul tersebut diolah dengan mengambil kira pelbagai aspek dan disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan Madani.

Kaedah pelaksanaan modul yang diperkenalkan menggabungkan kaedah konvesional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!