Pyanhabib disenangi ramai, rakan yang setia

Gambar kenangan M Nasir bersama Pyanhabib.
Gambar kenangan M Nasir bersama Pyanhabib.
A
A
A

PEMERGIAN penyair dan pelakon, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, pada Selasa, telah mengejutkan industri seni.

Rakan baiknya yang juga pengarah dan penulis terkenal, Nasir Jani menyifatkan rakan yang dikenali hampir lima dekad itu sebagai manusia istimewa dan tidak pernah menjadikan kekurangan pada dirinya sebagai penghalang.

“Kami berkawan sejak tahun 1975 ketika menuntut di pusat pengajian tinggi. Arwah bagi saya manusia istimewa, walaupun ada masalah pendengaran tetapi kelakuan atau tindakannya macam orang normal.

“Orang mungkin tak nampak dia ada masalah pendengaran. Malah dia buat orang lengkap sifat jadi malu kerana arwah serba boleh - menulis, berlakon, deklamasi sajak, puisi.

“Arwah juga manusia yang baik, tak pernah lagi saya dengar orang mengadu tentang dia. Sentiasa orang cerita yang baik. Bagi saya, dia manusia yang terlampau istimewa dan saya bertuah dapat bersahabat dengan beliau,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada Rabu.

Nasir
Nasir

Nasir berkata, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ketika mereka sama-sama mendeklamasi sajak pada 27 Ramadan lalu di Shah Alam, yang turut disertai Blues Gang.

“Saya harap dapat jumpa dia pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung baru-baru ini, tetapi dia maklumkan tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya ramai yang menunggu dia dari hari pertama sebab selalunya dia akan turun (hadir),” ujarnya.

Sependapat dengan Nasir Jani, komposer dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir turut menyifatkan Allahyarham Pyanhabib sebagai kawan yang setia.

Katanya, arwah yang dikenali sejak 1980-an itu akan mempertahankannya sekiranya berasakan sesuatu yang tidak adil berlaku.

“Dia kawan yang setia. Dia akan mempertahankan saya, contohnya jika berlaku sesuatu yang tidak adil pada saya, dia akan ke depan dahulu,” katanya.

M Nasir
M Nasir

Dalam masa sama, figura berusia 66 tahun itu mengakui terkilan apabila perancangannya untuk menampilkan Pyanhabib dalam konsert Dato' M.N45ir Cipta pada 10 Ogos depan tidak menjadi kenyataan.

“Sepatutnya ada slot buat arwah dalam konsert itu. Ada rasa terkilan itu,” katanya.

Berkongsi kenangan akhir bersama Allahyarham, M Nasir berkata, mereka baru sahaja selesai menjalani penggambaran promosi konsert pada Mei lalu.

Katanya, pada sesi penggambaran itu, Pyanhabib terlupa dialog sebenarnya sehingga mengundang deraian ketawa pihak produksi.

“Yang saya ingat semasa penggambaran video promosi konsert, sepatutnya dia sebut 'this is the time’, tetapi dia lupa, dia sebut ‘what is the time?’

“Ramai yang ketawa sebab cara dia sebut itu lucu tetapi saya tahu dia penat sangat sebab ada penggambaran lain,” ujarnya.

Sedikit info, Pyanhabib dilahirkan pada 27 Mei 1958 di Taiping, Perak berjaya membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham adalah Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).

Beliau dipercayai hilang pendengarannya ketika berusia 12 tahun setelah diserang demam panas.

Puisi 'Suara' ialah mukadimahnya untuk meletakkan dirinya sebagai penyair yang menyuarakan sesuatu dengan caranya sendiri.

Pyanhabib pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah, namun beliau menolak penganugerahan tersebut di Festival Filem Malaysia ke-7.

Beliau dikatakan terkilan kerana filem Kembara Seniman Jalanan ditolak pencalonannya dan menjadikan satu-satunya pelakon yang menolak pengiktirafan tertinggi dalam industri filem di negara ini sehingga kini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat pada jam 11.30 pagi, diiringi 200 kaum keluarga dan sahabat handai.

Sebelum itu, jenazah di bawa ke Masjid As-Sobirin AU5 untuk dimandi, kafan dan disolatkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!