Pendakap khas dari Jerman penyelesaian terbaik paip dasar laut bocor - Sanusi
ALOR SETAR - Pendakap paip dasar laut yang perlu ditempah khas dari Jerman akan menjadi penyelesaian terbaik kepada usaha membaik pulih paip dasar laut ke Langkawi yang mengalami kebocoran.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata, ia akan mula dilaksanakan dalam tempoh terdekat setelah dicadangkan oleh pakar konsultan dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, pemilihan opsyen berkenaan merupakan sebahagian daripada projek membaik pulih pembekalan air ke Langkawi bagi memastikan pulau tersebut memiliki bekalan air secukupnya.
“Kita sudah selesai di peringkat konsultan untuk mengaudit paip sedia ada. Ketika itu kita menemui 23 kebocoran di sepanjang 36 kilometer paip dasar laut.
“Syarikat audit tersebut berbelanja agak besar dalam proses tersebut kerana menggunakan khidmat pakar, bukan semua kontraktor boleh lakukan selaman tersebut. Kemudian kita pilih beberapa opsyen berkaitan selain diberikan RM50 juta dari kerajaan Persekutuan untuk laksanakan baik pulih tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Pada Selasa, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, Empangan Malut di Kedah adalah satu-satunya empangan yang masih menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya susulan cuaca panas, iaitu 28.50 peratus setakat Selasa.
Sanusi menjelaskan, pendakap paip yang dicadangkan ini adalah lebih panjang dan perlu ditempah khas dari Jerman.
“Ia cadangan daripada pakar-pakar paip dasar laut. Sekiranya kita ganti paip baharu, kosnya lebih mahal cuma kaedah pendakap atau ‘clamp’ mengambil masa sedikit berikutan kita perlu siapkan laporan audit.
“Kita tak mahu bila ‘clamp’ sini, sana pula tembus. Perlu lihat daya tahan paip yang dikhuatiri semakin kurang. Dari aspek teknikal, keupayaan paip itu perlu dinilai sama ada mampu bertahan pada tekanan arus dan sebagainya jika dilakukan ‘clamp’ pada semua kebocoran,” ujarnya.
Menurutnya, opsyen tersebut merupakan yang terbaik dipilih oleh konsultan berbanding kaedah pendakap paip sedia ada.
“Sekarang pun ada buat ‘clamp’ tetapi bila ada arus bawah laut, ada pergerakan, kehadiran bot laju, tekanan air laut, semua itu boleh menyebabkan gegaran pada paip, kita perlu pastikan pendakap tersebut tidak terjejas,” ujarnya.
Pada Februari, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memaklumkan, kekerapan kebocoran paip dasar laut yang membawa bekalan air dari tanah besar ke Pulau Langkawi menyebabkan pembaziran hampir 45 peratus bekalan air terawat setiap hari.
Pelaksanaan projek pembaikan paip dasar laut secara menyeluruh dijangka siap pada Januari 2025.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!