Polis sahkan ancaman bom palsu di MOTAC
PUTRAJAYA - Polis mengesahkan bungkusan yang dialamatkan kepada Menteri Pelancong, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing adalah sebagai ancaman bom palsu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, A.Asmadi Abdul Aziz berkata, ia selepas Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan menggunakan dua ekor anjing pengesan dan teknologi untuk mengesahkan perkara tersebut.
"Kita dapati ialah bom palsu yang hampir menyerupai bom," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan MOTAC pada Rabu.
Ujarnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dihantar menerusi kurier J&T pada jam 11.19 pagi Rabu.
"Kita dapat maklumat pertama jam 3.21 petang dari panggilan daripada MERS 999 dan saya sendiri menerima panggilan daripada menteri mengenainya.
"Bungkusan tersebut diambil dan dibawa naik ke tingkat 14 pada jam 2.45 petang dan apabila dibuka didapati ia diletakkan bersama paip polyvinyl chloride (PVC), wayar dan 'timer'," katanya.
A Asmadi berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957.
"Kita akan lihat segenap sudut termasuk ketenteraman awam dan ugutan.
Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat," katanya.
Tegas beliau, pihak yang mempunyai maklumat diminta agar tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.
"Kita tidak mahu sebarang spekulasi dibuat," katanya.
Terdahulu kakitangan dan pelawat MOTAC telah diarah mengosongkan bangunan tersebut sekitar jam 3.40 petang susulan penemuan bungkusan itu.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysian (JBPM) mengesahkan menerima panggilan kecemasan berhubung ancaman bom berkenaan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan melalui talian MERS 999, jam 3.27 petang menyatakan berlaku ancaman bom di kementerian itu di Presint 5, dekat sini.
Beliau berkata, setiba pasukan keluaran operasi (PKO), orang ramai telah diarahkan keluar dari bangunan dan berada di lokasi selamat.
"Pasukan anggota JBPM telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan membantu orang ramai untuk mengosongkan bangunan itu.
"Selain JBPM yang hadir memberi khidmat dan mengawasi tahap keselamatan orang ramai, unit bom daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut hadir ke lokasi bagi membuat pemeriksaan," katanya pada Rabu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!