Dua jaguh skuasy rebut gelaran Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan
PEMAIN skuasy lelaki dan wanita kebangsaan, Ng Eian Yow dan S Sivasangari antara 10 atlet yang tercalon bagi merebut gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang dianjurkan pada 13 Jun ini.
Eian Yow yang disenaraikan dalam lima calon terakhir Olahragawan berpeluang meraih gelaran tersebut susulan beberapa kejayaannya di pentas Asia termasuk jelajah dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
Bagaimanapun, Eian Yow (juara Terbuka Jerman 2024), bakal menerima tentangan hebat daripada empat calon lain antaranya juara dunia bina badan enam kali, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang pastinya ASN 2023 menjadi hadiah persaraan terbaik kerana ia satu-satunya gelaran belum berada dalam genggamannya.
Atlet karate yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Arif Afifuddin Ab Malik, jaguh ekuestrian negara; Qabil Ambak Mahamad Fathil dan Muhammad Rafiq Ismail turut tersenarai merebut gelaran Olahragawan ASN 2023.
Sementara itu, saingan bagi gelaran Olahragawati juga tidak kurang hebatnya apabila Sivasangari (juara Klasik London bertaraf emas jelajah dunia PSA) bakal ditentang hebat oleh pemain tenpin boling wanita, Natasha Mohamed Roslan yang muncul juara dunia tahun lalu.
Tiga lagi nama berada dalam pencalonan akhir bagi gelaran Olahragawati adalah atlet muay thai, Nor Amisha Azrilrizal, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).
Bagi kategori Olahragawan Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting) mengetuai senarai diikuti tiga atlet para olahraga, Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (pararenang).
Lima pencalonan gelaran Olahragawati Paralimpik pula menyaksikan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Angeline Melissa Anak Lawas (boccia) dan Jariah Zakaria (para boling padang).
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.
Gelaran Olahragawan sebelum ini menjadi milik bekas juara dunia beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Olahragawati Kebangsaan pula menjadi milik gimnas negara, Ng Joe Ee.
ASN berlangsung di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) dan dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!