Pesakit untut tak sempat jalani pembedahan, meninggal di pangkuan isteri
JERANTUT - Hajat seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Mohd Zulkifli Zainal, 40, untuk menjalani pembedahan membuang ketulan daging seberat 60 kilogram di kaki kanannya awal bulan depan tidak kesampaian selepas meninggal dunia pada Selasa.
Allahyarham Mohd Zulkifli meninggal dunia di kampung halamannya di Kuala Teh, Jerantut kira-kira jam 3.45 petang selepas mengalami sesak nafas.
Isterinya, Nurul Shada Masri, 37 memberitahu, sebelum kejadian, suaminya mengalami demam beberapa hari, namun telah pulih pada Selasa.
"Pada mulanya saya ingatkan arwah suami pengsan tapi rupanya telah meninggal dunia di pangkuan saya.
"Arwah suami tidak menunjukkan sebarang perubahan diri kecuali gembira kerana akan menjalani pembedahan pada 3 Julai di sebuah hospital swasta di Shah Alam," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sebelum ini, kisah penderitaan Mohd Zulkifli yang menderita penyakit untut (Lymphoedema) kronik sejak enam tahun lalu pernah dilaporkan Sinar Harian pada April lalu dan memerlukan kos kira-kira RM75,000 untuk pembedahan.
Ujar Nurul Shada, dia dan suaminya menerima makluman daripada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang akan menanggung pembedahan tersebut.
"Surat daripada pihak Muip pun baru sampai di pejabatnya pagi tadi (Rabu) dan sedih juga arwah tidak sempat menjalani pembedahan itu.
"Saya reda dengan ujian ini, ajal suami sudah tertulis dan terima kasih kepada semua penderma yang banyak membantu selama ini," tambahnya.
Allahyarham Mohd Zulkifli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Teh, Jerantut kira-kira jam 11.30 malam.
Allahyarham turut meninggalkan seorang anak lelaki tunggal berusia 15 tahun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!