'Kontena terbang' lari cukai RM3.5 bilion
KUALA LUMPUR - Risikan tiga agensi penguat kuasa berjaya membongkar sindiket lari cukai terbesar selama 10 tahun di Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan kerugian cukai RM3.5 bilion kepada negara.
Gabungan pasukan risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya membongkar kegiatan sindiket tersebut.
Dalam operasi khas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini, pasukan khas yang diketuai SPRM itu telah menahan sebanyak 19 buah lori kontena disyaki membawa barangan lari cukai dan pelbagai jenis barangan diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati sindiket terbabit memiliki lebih 10 syarikat forwarding yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.
Katanya, hasil risikan yang dijalankan lebih dari tiga bulan mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan pelbagai syarikat forwarding didaftarkan atas nama individu yang langsung tidak mengetahui urusan tersebut.
“Ia bertujuan mengaburi pihak berkuasa, selain membolehkan ahli sindiket terlepas daripada tindakan guna alasan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan," katanya pada Rabu.
Menurut sumber lagi, sindiket terlibat dipercayai didalangi seorang lelaki warga asing yang beribu pejabat di luar negara dan beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.
Menurutnya, sindiket tersebut dianggarkan menguruskan lebih kurang 3,000 buah kontena sebulan.
“Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun sindiket itu beroperasi dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion. Ia berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena,” dedahnya.
Tambahnya, ‘kontena terbang’ itu akan memasuki Gudang Berlesen Awam (GBA) Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Sedangkan katanya, kontena-kontena berkenaan tidak melalui proses pemeriksaan kastam dan seterusnya akan terus keluar dari pelabuhan untuk diedarkan ke seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan bahawa SPRM telah mengemukakan permohonan reman terhadap dua individu di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Beliau berkata, mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM berjaya membongkar sindiket penyeludupan dan lari cukai di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!