Henti cadangan luaskan Akta PPPA 1984, segera tubuh Majlis Media Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menghentikan cadangan untuk meluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 kepada media dalam talian dan segera menubuhkan Majlis Media Malaysia yang lebih telus.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam satu kenyataan berkata, perluasan akta tersebut adalah tindakan terdesak bagi mengawal penerbitan media khususnya kandungan yang dianggap tidak menyenangkan.

Menurutnya, menerusi penubuhan majlis tersebut, ia mewujudkan indeks kebebasan media tempatan dengan mekanisme yang lebih telus.

“Adakah ini langkah kerajaan mengawal kandungan yang hanya sesuai dengan kehendak pemerintah?

“Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepatutnya membincangkan cara mempercepat penubuhan majlis media dan bukannya memperluaskan PPPA 1984.

“Penubuhan Majlis Media Malaysia selaras dengan amalan baik bagi membantu kod kelakuan selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan ketika diminta mengulas kemungkinan jika PPPA diperluaskan untuk mengawal kandungan media dalam talian.

Jelas beliau, langkah memperluaskan PPPA adalah sesuatu yang tidak berakal jika dilaksanakan dan yakin tiada wartawan akan menyambut baik cadangan itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Muda, acara libat urus bersama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) harus segera dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan awam yang lebih jelas serta strategik.

Tambahnya,sejarah membuktikan bahawa PPPA 1984 digunakan dengan tujuan sekatan, khususnya kepada penerbitan yang dilihat tidak mesra kerajaan.

Ujarnya, media Malaysia perlu diperkasa dan bukan disekat.

"Melihat kepada perkembangan ini, sepertinya selangkah demi selangkah kita sedang mengundur kebelakang.

“PPPA 1984 bukan sahaja digagaskan sejak zaman penjajahan British dan ia undang-undang ditentang oleh rakan-rakan yang kini berada dalam kerajaan untuk tempoh yang panjang.

“Hapuskan Akta PPPA 1984 serta hentikan sandiwara akta-akta penjajah yang tidak relevan dan bersifat drakonian,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!