Penaja utama Salam Baitullah, Olive House bakal tarik diri?

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kontroversi Pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid yang direhatkan daripada terus bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat perhatian penaja utamanya, Olive House.

Isu tersebut yang sedang hangat dibincangkan oleh pelbagai pihak di media sosial telah menimbulkan dakwaan bahawa Olive House bakal menarik diri menaja rancangan berkenaan.

Bagaimanapun, perkara itu pantas dinafikan Ketua Pegawai Pemasarannya, Siti Rusyidah Yahya yang berkata, setakat ini mereka tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

"Olive House adalah penaja utama selama lima tahun rancangan Salam Baitullah dan tiada rancangan untuk menarik diri.

"Agenda Olive House jelas untuk membantu masyarakat merealisasikan gaya hidup Aafiyat dan salah satunya adalah dengan menaja program seumpama ini.

"Walaupun terpalit dengan isu yang sedang hangat sekarang ini, Olive House akan terus sokong para asatizah dan program Salam Baitullah untuk membantu jemaah dan bakal jemaah mendapatkan perkongsian info di Tanah Suci," katanya ketika ditemui dekat sini pada Rabu.

Jelas Siti Rusyidah, pihaknya akan menyokong setiap keputusan yang dibuat oleh RTM berkaitan isu tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan secara berhikmah.

Menurutnya, Olive House adalah jenama yang dipercayai dan memasarkan produk yang berkualiti tinggi dan produk utamanya, Olivie telah terjual lebih satu juta botol sepanjang dipasarkan.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Pendakwah selebriti itu yang dikenali Ustaz Don, 39, direhatkan daripada terus bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah di RTM.

Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, tindakan itu diambil bagi meredakan keadaan susulan penceramah itu yang dikritik oleh beberapa pihak berikutan dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Sebelum ini, semasa bersiaran di sebuah stesen radio, Don Daniyal mendakwa Nabi Muhammad SAW pernah melamar seorang wanita iaitu Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, kisah tersebut benar, namun ia hanya ditolak sekali sahaja pada tahun pembukaan kota Makkah sewaktu Ummu Hani baharu memeluk Islam manakala dua lamaran yang berlaku sebelum Islam tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah.

Pada Selasa, Suhaimi turut menjelaskan bahawa tugas Don Daniyal dalam rancangan tersebut sebagai juruacara dan bukan penganalisis atau penceramah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!