Pengarah Kemas direman SPRM
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri petang semalam.
Suspek berusia 45 tahun itu ditahan di pejabatnya pada jam 4.30 petang dan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Januari.
Sumber memberitahu, suspek ditahan susulan aduan yang diterima berkaitan tuntutan palsu bagi program atau kursus anjuran Kemas negeri.
“Suspek dipercayai terbabit melakukan tuntutan mengandungi butiran palsu dalam pembekalan makan minum dan peralatan kursus program sedangkan pembekalan tidak disediakan sepenuhnya.
“Terdapat juga tuntutan penyelenggaraan kenderaan jabatan yang disyaki mengandungi butiran palsu kerana dipercayai tiada penyelenggaraan dilaksanakan dan tuntutan bagi program atau kursus sedangkan program berkenaan tidak dijalankan dengan sempurna,” katanya.
Sumber juga memaklumkan, siasatan juga membabitkan kes tuntutan palsu bagi program bersama masyarakat di 11 Parlimen seluruh Kelantan yang dipercayai berlaku tahun lalu.
“SPRM juga menyiasat isu pelantikan saudara mara sebagai pembekal perolehan atau perkhidmatan dengan Kemas Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan pengarah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!