Pesara kerajaan dijangka hadapi masalah kewangan

Azih Muda
Azih Muda
A
A
A

SHAH ALAM - Pesara kerajaan dijangka berhadapan dengan masalah kewangan yang serius sekiranya skim pencen penjawat awam ditukarkan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (Pejasma), Datuk Azih Muda berkata, kajian yang dibuat oleh KWSP menunjukkan bahawa pesara akan kehabisan wang selepas lima tahun dari tempoh pengeluaran, sedangkan negara kini mencapai fenomena penuaan yang mana umur pesara semakin panjang.

Menurutnya, jika pesara kehabisan wang simpanan, situasi akan menjadi semakin getir dan begitu juga penjawat awam.

“Kalau masa kerja pun gaji tidak cukup, inikan pula tiada pencen. Jadi kita bimbang kalau keluarga Malaysia bukan sahaja menjadi papa kedana dan tidak boleh makan, malah dikhuatiri tidak mampu memiliki rumah.

“Kita lihat negara maju seperti England dan Itali, berapa ramai yang tidur tepi jalan. Fenomena ini mungkin berlaku juga di negara kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia melakukan reformasi terhadap rangka kerja pencen dan persaraannya bagi memastikan keselamatan kewangan dan ekuiti untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kajian baru-baru ini mendapati 26.1 peratus responden berumur 60 tahun ke atas akan terus bekerja sehingga menghadapi masalah kesihatan kerana mereka berdepan cabaran untuk mencapai jaminan pendapatan bagi membiayai keperluan persaraan.

Beliau berkata, populasi warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding rata-rata penduduk Malaysia yang lain dengan hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seperti pencen semasa bersara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azih berkata, skim pencen patut dikekalkan kerana gaji yang dibayar di Malaysia masih rendah berbanding negara maju.

“Pencen atau atau caruman KWSP bagi saya sama sahaja, kerajaan tidak boleh terlepas memandangkan sebagai majikan kerajaan juga perlu mencarum untuk pekerjanya.

“Bayangkan berapa ramai kakitangan awam, kalau satu juta adakah ini tidak melibatkan kos. Nak carum KWSP majikan perlu carum dengan kadar yang lebih tinggi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!