Hanya Jabatan Kehakiman layak sahkan status pernikahan - JAIPs
KANGAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status pasangan bernikah di Thailand yang membuat pendaftaran pernikahan melalui sebuah syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri ini.
Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata, hanya Jabatan Kehakiman yang layak menentukan sama ada pernikahan itu sah atau tidak memandangkan pasangan terlibat tidak melalui prosedur yang ditetapkan.
“JAIPs tiada kuasa untuk tentukan, hanya Jabatan Kehakiman ada kuasa,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, seorang pegawai kanan antara tiga direman SPRM berkaitan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri itu.
Selatan Thailand sudah lama menjadi destinasi pasangan warga Malaysia untuk melangsungkan akad nikah dan mereka dikehendaki mendaftarkan semula perkahwinan di negara ini mengikut prosedur tertentu.
Februari lalu, Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi mendedahkan hampir 300 pasangan dari Malaysia menikah di Selatan Thailand setiap bulan.
Daripada jumlah tersebut, 60 peratus perkahwinan itu melibatkan berpoligami dan selebihnya kerana tidak mendapat izin keluarga.
Kebanyakan mereka akan memilih Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun untuk melakukan akad nikah, kata beliau.
Terdahulu pada Oktober tahun lalu, Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, seramai 20 hingga 25 pasangan berkahwin di Thailand mendaftar di negeri ini dalam tempoh sebulan.
Beliau berkata, pendaftaran perkahwinan di negeri ini selepas melangsungkan proses nikah di Thailand atas tujuan poligami tidak memerlukan persetujuan isteri pertama.
“Pemohon hanya perlu hadir di hadapan pendaftar dan mengemukakan bukti perkahwinan menerusi dokumen yang disahkan.
“Apabila pendaftar berpuas hati bahawa perkahwinan tersebut adalah sah di sisi syarak, maka, perkahwinan berkenaan boleh didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Hanya Jabatan Kehakiman layak sahkan status pernikahan - JAIPs #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #JabatanKehakiman #Perkahwinan #Status #Thailand #SPRM #JAIPs #Perlis
Bunga Rampai - Zaleha Hamid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!