Watak Buang masih wujud di zaman moden

Akibat perlakuan penjawat awam yang tidak bertanggungjawab, negara berdepan dengan kerugian amat dahsyat.
Akibat perlakuan penjawat awam yang tidak bertanggungjawab, negara berdepan dengan kerugian amat dahsyat.
A
A
A

WALAUPUN rasuah diklasifikasikan sebagai musuh negara, namun masih ramai yang melakukan perbuatan terkutuk itu.

Hampir setiap hari, ada sahaja yang ditangkap dan dijatuhkan hukuman kerana memberi atau menerima rasuah.

Jumlah kes juga semakin meningkat dari masa ke masa hingga membimbangkan masyarakat yang mementingkan integriti.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan, seramai 443 individu ditangkap dari Januari hingga April tahun ini kerana disyaki terbabit rasuah.

Daripada jumlah itu, seramai 286 individu yang ditangkap ialah penjawat awam yang merupakan benteng atau tulang belakang negara.

Salah satu yang membuka mata ramai adalah penangkapan 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini.

Kesemua mereka disyaki menerima rasuah berjumlah RM4.7 juta daripada sindiket penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain tangkapan, terdapat juga kalangan perasuah yang telah didakwa di mahkamah atas perbuatan keji mereka itu.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, seramai dua pegawai kanan polis didakwa atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1.25 juta.

Wang tersebut diterima bagi menutup siasatan kes seorang ahli perniagaan membabitkan pembelian senjata api oleh warga Israel.

Akibat perlakuan penjawat awam yang tidak bertanggungjawab itu, negara berdepan dengan kerugian amat dahsyat.

Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, Malaysia kehilangan lebih kurang RM227 bilion dalam tempoh lima tahun antara 2018 dan 2023 akibat rasuah.

Wang yang sepatutnya digunakan untuk manfaat pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat hilang begitu sahaja di tangan perasuah.

Jika dibahagikan sama rata kepada 34 juta rakyat Malaysia, setiap seorang boleh menerima RM6,676.

Tapi, apakan daya wang tersebut telah jatuh ke tangan orang yang salah – tidak amanah dalam menguruskan perbendaharaan negara.

Lebih malang, setiap ringgit yang diperoleh daripada cukai dan sumber kekayaan negara itu telah diselewengkan oleh segelintir penjawat awam yang tidak jujur.

Mereka yang sepatutnya membantu pemimpin memakmurkan dan melindungi negara daripada sebarang bentuk penyelewengan telah menyalahgunakan kedudukan masing-masing.

Tidak ubah seperti watak Buang - pengkhianat agama, bangsa dan tanah air (ABATA) yang sinonim dalam kalangan rakyat negara ini.

Bagi generasi baharu yang tidak mengenali individu berkenaan, Buang merupakan antagonis dalam Sarjan Hassan yang diterbitkan pada tahun 1958.

Filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu meletakkan Buang sebagai tali barut tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua yang sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan hidup.

Biarpun watak Buang itu hanya fiksyen, namun ia menjadi refleksi kepada generasi moden, khususnya penjawat awam yang terkait rasuah.

Sudah tentu apa yang mereka lakukan itu didorong oleh habuan mencecah tujuh, lapan mungkin juga sembilan angka yang disembunyikan dalam ruang rahsia bawah tanah.

Walaupun tahu kesan dan akibatnya, mereka tetap sahaja melakukan perbuatan terkutuk itu sehingga mengkhianati ABATA.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan kepada mereka itu? Campak ke kandang harimau? Benam ke dasar laut atau tembak di depan khalayak ramai?

Kalau ikutkan hati memang itulah yang sepatutnya dilakukan namun negara kita masih mempunyai undang-undang.

Jadi tidak perlulah menjadi orang gasar untuk menghukum perasuah dengan menggunakan tangan sendiri. Biarlah undang-undang yang ada pada hari ini menentukan nasib mereka apabila tertangkap kelak.

Sebaliknya, teruskan tanggungjawab kita mendidik adik-adik dan anak-anak agar mereka turut sama menolak amalan keji itu.

Jangan lupa, ajarkan juga mereka dengan adab supaya mampu melahirkan generasi berkualiti yang memiliki sifat amanah, tabligh, siddiq dan fatanah.

* Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Penyunting Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!