TH tambah dua lagi mesin ATM untuk jemaah haji
MAKKAH - Tabung Haji (TH) menambah dua lagi kemudahan mesin pengeluaran automatik (ATM) di dua zon penginapan bagi memudahkan jemaah haji Malaysia musim 1445H/2024M mengeluarkan wang ketika berada di Tanah Suci.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, melalui perundingan yang dibuat sejak musim haji lalu, Alinma Bank telah bersetuju menyediakan dua mesin ATM di bangunan Hotel Land Premium di Zon D dan Hotel Rehab Al-Janadriyah di Zon C.
Menurutnya, menerusi kemudahan mesin ATM itu, jemaah akan lebih mudah untuk membuat pengeluaran wang tanpa perlu berjalan jauh mencari mesin ATM di kawasan lain.
“Jadi dengan adanya mesin ATM in jemaah tidak perlu bawa duit yang besar dan ini dikhuatiri kadang kala wang boleh tercicir atau kecurian dan jemaah boleh keluarkan wang ikut keperluan semasa sahaja.
“Terutama sekali bila ke Arafah dan Mina nanti, tiada tempat untuk mereka nak simpan duit yang banyak. Dengan adanya ATM mereka tidak perlu keluarkan duit dan balik dari Mina nanti baru keluar duit. Ini kelebihan perkhidmatan kepada semua jemaah haji tahun ini,” katanya kepada petugas media, semalam.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Pelancaran Mesin ATM Alinma Bank di Hotel Land Premium, di sini.
Pada tahun lepas, TH telah menyediakan buat kali pertama mesin ATM Alinma Bank di bangunan penginapan Zon A di Hotel Abraj Al-Janadriyah yang juga merupakan Ibu Pejabat TH Makkah.
Manakala, bagi jemaah haji yang berada di Zon B pula iaitu zon penginapan terdekat dengan Masjidil Haram boleh membuat pengeluaran wang di mesin ATM di Menara Jam dan kawasan sekitar.
Penyediaan mesin ATM ini, susulan perkhidmatan kaunter pengeluaran wang tunai yang disediakan TH sebelum ini telah ditamatkan sejak tahun 2022 kerana mematuhi peraturan baharu kerajaan Arab Saudi.
“Mesin ATM ini amat penting kerana sejak daripada 2022 pihak TH tidak lagi sediakan kaunter pengeluaran wang di bangunan penginapan.
“Kemudian TH bekerjasama dengan Bank Islam untuk menyediakan Kad Debit Bank Islam yang mempunyai kelebihan iaitu sebarang pengeluaran wang tidak dikenakan cas semasa digunakan jemaah haji di Tanah Suci,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!