Polis sita rampasan wang tunai RM20,000 kes dadah
PETALING JAYA - Polis menyita wang tunai berjumlah RM20,000 yang dirampas daripada seorang lelaki pada Rabu susulan tangkapan berhubung kes dadah Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, suspek yang merupakan individu warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 1.20 petang pada 12 Mei yang lalu.
"Penahanan individu berumur 26 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di kawasan Sungai Way.
"Turut dirampas bersama suspek adalah dadah jenis ganja dengan anggaran berat 2,004 gram," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, hasil siasatan dijalankan membawa kepada rampasan dadah jenis sama seberat 770 gram di kawasan Sepang dan suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Petaling Jaya pada 17 Mei lalu.
"Pada 5 Jun (Rabu) polis kemudiannya telah membuat sitaan lanjutan ke atas rampasan wang tunai itu dan pihak keluarga suspek telah dimaklumkan awal berkenaan dengan rampasan wang tunai tersebut bagi tujuan pemulangan," katanya.
Tambahnya, siasatan sumber wang tunai terbabit dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan siasatan lanjut berkaitan harta suspek masih dijalankan setakat ini.
Pada Rabu, polis menjalankan siasatan berhubung kes melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya didakwa mengambil wang suspek yang ditahan berjumlah RM20,000 baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis sebelum ini menerima laporan berhubung dakwaan berkenaan daripada seorang lelaki yang merupakan bapa suspek.
Jelas beliau, pihaknya telah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk siasatan dakwaan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!