Lebih separuh struktur Gaza musnah

Analisis awal itu menunjukkan lebih 137,000 struktur dibedil sepanjang tempoh lapan bulan lalu.
Analisis awal itu menunjukkan lebih 137,000 struktur dibedil sepanjang tempoh lapan bulan lalu.
A
A
A

GENEVA - Kira-kira 55 peratus daripada struktur di Genting Gaza telah binasa sepenuhnya atau separa musnah sejak perang genosid tercetus kira-kira lapan bulan lalu.

Anggaran terbaharu itu dikeluarkan berdasarkan analisis awal satelit oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT) pada bulan lalu yang turut membandingkan imej pada September dan 15 Oktober, kira-kira seminggu selepas pejuang Hamas melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa yang mencetuskan serangan balas menggila Israel ke atas Gaza.

Analisis itu menunjukkan sebanyak 137,297 bangunan dibedil oleh rejim Zionis sepanjang 240 hari lalu.

“UNOSAT mengenal pasti sebanyak 36,591 struktur yang musnah teruk dan 47,368 separa rosak manakala 36,825 bangunan dipercayai turut terkesan akibat kempen pengeboman dahsyat tersebut.

“Selain itu, dianggarkan sebanyak 135,142 unit rumah juga terjejas,” ujar agensi itu dalam satu kenyataan pada awal minggu lalu.

Serangan IDF semakin menggila dan menyasarkan penempatan penduduk di Gaza.
Serangan IDF semakin menggila dan menyasarkan penempatan penduduk di Gaza.

Menurutnya, perbandingan imej itu menunjukkan kawasan Deir al-Balah, tengah dan bahagian utara enklaf itu berdepan kemusnahan yang paling besar antara 1 April dan 3 Mei lalu.

“Sebanyak 2,613 struktur binasa di Deir al-Balah dalam tempoh sebulan manakala kira-kira 1,216 struktur baharu musnah dibedil di Nuseirat,” jelasnya sambil menambah penemuan itu adalah sebahagian daripada analisis awal yang masih belum disahkan wakil di lapangan berikutan Gaza masih dihujani bom sejak kemaraan unit kereta kebal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ke Rafah pada awal Mei.

Artikel Berkaitan:

Tilam dan beberapa barangan yang masih boleh digunakan diambil dari runtuhan sebuah bangunan di Khan Yunis.
Tilam dan beberapa barangan yang masih boleh digunakan diambil dari runtuhan sebuah bangunan di Khan Yunis.

Khemah dibanjiri air kumbahan

Hidup penduduk Palestin yang berlindung di ‘bandar khemah’ semakin derita selepas mereka terpaksa menggunakan botol plastik untuk menimba air kumbahan yang membanjiri ‘rumah sementara’ mereka setelah saluran paip pecah di bandar selatan Khan Yunis.

“Khemah kami banjir. Saya merayu kepada negara Arab dan seluruh dunia supaya buka mata serta melihat keadaan kami di sini yang bergelumang dengan air kumbahan.

“Kami terpaksa tidur di jalan raya,” kata Abdullah Barbakh dalam nada sebak.

Sekolah di kawasan kejiranan al-Zaitoun di Bandar Gaza turut menjadi sasaran bedilan rejim Zionis.
Sekolah di kawasan kejiranan al-Zaitoun di Bandar Gaza turut menjadi sasaran bedilan rejim Zionis.

Khan Yunis pernah menjadi medan pertempuran ketika fasa awal perang ganas tersebut dan kini ia menjadi hab penempatan penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal.

“Kira-kira 1.7 juta orang kini berlindung di Khan Yunis dan kawasan tengah Gaza setelah IDF memperhebatkan kempen serangan ke atas bandar Rafah,” ujar agensi bantuan antarabangsa.

Pihak berkuasa di bandar selatan itu memaklumkan mereka tidak mempunyai peralatan yang mencukupi bagi membaiki saluran paip tersebut.

“Kami sedang berusaha untuk menghentikan aliran air kumbahan itu, namun kami berdepan masalah kekangan material,” ujar pekerja majlis perbandaran, Hossam Musa.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di Khan Yunis, Said Ashour memberitahu mereka kini tidak lagi mempunyai bekalan air bersih.

Seorang kanak-kanak Palestin mengisi bekalan air bersih yang semakin sukar diperoleh ketika ini.
Seorang kanak-kanak Palestin mengisi bekalan air bersih yang semakin sukar diperoleh ketika ini.

“Kami tiada lagi sumber air minuman. Kami terpaksa berjalan kaki sejauh satu atau dua kilometer. Tiada lagi penjual air di tepi jalan,” rintihnya.

Menerusi rayuan terbaharu, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Asia Barat, Hanan Balkhy sekali lagi menggesa akses bantuan kemanusiaan dipertingkatkan ke wilayah terkepung itu selepas sebahagian penduduk Gaza kini terpaksa meminum air kumbahan demi menghilangkan dahaga. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!