'Nampak normal' - Ibu sedih dikata menipu anak autisme
SHAH ALAM - "Nampak normal, dekat mana yang tidak kena". Itu ayat yang seringkali diajukan kepada sepasang suami isteri yang mempunyai tiga anak autisme.
Ibu kepada kanak-kanak itu, Dalila Diyana Sazali, 36, berkata, ramai yang mempersoalkan keadaan anaknya kerana kelihatan seperti kanak-kanak biasa.
"Ada yang kata saya menipu anak autisme, dari segi luaran nampak normal, cukup 15 minit tidak payah tunggu lama, anak-anak syurga ini akan menunjukan sikap mereka (tantrum). Kalau di kedai makan saya dan suami kena makan sehabis cepat sebelum mereka selesai.
"Meja bersepah itu perkara biasa kalau ada anak autisme. Rumah dan kereta tidak pernah bersih serta kemas dalam tempoh yang lama, setakat 10 minit boleh lah bertahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Cabaran menjaga anak autisme dikongsi Dalila Diyana menerusi aplikasi TikTok dan mendapat lebih 30,000 tanda suka.
Menurut Dalila Diyana, ketiga-tiga anaknya tidak boleh bercakap dan sukar untuk meluahkan perasaan mereka.
Ujarnya, dia dan suami memerlukan kesabaran yang tinggi terutama ketika mereka di luar kawalan.
"Ini sangat mencabar buat kami, kalau sakit atau demam mereka tidak pandai nak beritahu apa yang dirasainya. Kadang-kadang rasa putus asa dan menganggu emosi kerana ia bukan mudah.
"Ditambah pula, ada segelintir masyarakat yang menghina dan tidak boleh terima anak autisme kami. Saya sebagai ibu sangat sedih apabila mereka memberi tanggapan negatif," ujarnya.
Ditanya mengenai penerimaan Dalila Diyana apabila dikurniakan anak autisme, dia memberitahu, pada mulanya sangat sukar untuk menerima kenyataan sehingga mengurung diri dalam bilik dan tidak membawa anak keluar dari rumah.
Katanya, kehadiran anak istimewa dalam keluarga mereka seolah-olah dipersoalkan apatah lagi tidak pernah berhadapan dengan kanak-kanak autisme dalam kalangan orang terdekat.
"Kali pertama doktor sahkan anak sulung ada mild austims saya tidak boleh terima hakikat sebab orang sekeliling seperti kawan-kawan dan keluarga semua anak mereka pandai. Saya mula fikir apa salah saya ALLAH beri ujian sebegini berat.
"Sejak dari itu saya mula tidak bergaul dengan masyarakat, balik dari kerja terus berkurung dalam bilik, anak pun saya tidak bawa keluar kerana malu. Keadaan itu berlanjutan agak lama iaitu lebih satu tahun sehingga suami dan ibu bapa menyedarkan saya," jelasnya.
Dia turut menasihati ibu bapa yang mempunyai anak istimewa agar tidak rasa rendah diri dan menerima takdir ALLAH.
"Jangan sembunyi anak dan merasa malu, bawa mereka keluar.
"Anak autism sangat istimewa, dia ada kelebihan cuma kita sahaja yang gali," katanya.
@sinarharianonline 'Nampak normal' - Ibu sedih dikata menipu anak autisme #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Edisi #Selangor #KL #Keluarga #Kesihatan #IbuBapa #Anak #Autisme
Strength of a Thousand Men (Instrumental) - Two Steps from Hell
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!