Pemandu e-hailing tergamak burukkan nama Malaysia
MERAK Jalanan terkejut apabila melihat satu rakaman video yang tular di media sosial mengenai tindakan seorang pemandu e-hailing yang menghina Islam dan memburukkan negara kepada seorang pelancong asing. Menyirap juga darah dibuatnya.
Apa yang diperkatakan oleh pemandu itu berkaitan agama Islam dan undang-undang kepada pelancong asing adalah salah dan memperlihatkan pemikirannya yang sangat sempit.
Sedangkan sebagai pemandu e-hailing, dia sepatutnya bertindak sebagai duta kecil yang membantu mempromosikan negara kepada pelancong asing.
Malah, dia juga telah mempertikai Islam sebagai agama rasmi dan mendakwa kebebasan tersekat termasuk larangan berjudi dan minum arak.
Agak pelik apabila dia memuji Thailand dan menyarankan pelancong asing itu agar melancong ke negara jiran itu.
Bagi Merak Jalanan, perbuatannya itu sangat memalukan kerana dengan selamba memfitnah dan memburukkan negara sendiri.
Justeru, Merak Jalanan menggesa supaya tindakan tegas diambil oleh pihak syarikat e-hailing dengan memberhentikan khidmat lelaki terbabit.
Sekiranya tidak diambil tindakan, Merak Jalanan bimbang dia akan terus memfitnah dan memburukkan nama negara serta memberi tanggapan yang salah mengenai agama Islam kepada penumpang yang dibawanya.
Merak Jalanan nak tengok juga apa tindakan pihak berkuasa dan kementerian terbabit kerana perbuatan lelaki berkenaan jelas sekali memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum).
Seperti kata Caprice, nak marah pun tak boleh tapi kesian ‘sebab ramai pakcik di Malaysia yang mental segregation (pengasingan mental) kerana gagal faham agama, bangsa dan kaum lain’.
Isu perkauman nampaknya masih gagal dibendung. Merak Jalanan bimbang isu rasis kian meruncing sejak kebelakangan ini.
Jadi, siapa yang perlu dipersalahkan?
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!