Apam balik 40 tahun

Almidar (kiri) dan Irnawati mula berniaga apam balik sejak tahun 1984.
Almidar (kiri) dan Irnawati mula berniaga apam balik sejak tahun 1984.
A
A
A

KUALA PILAH - Siapa sangka perniagaan apam balik yang diusahakan sepasang suami isteri di Jalan Perpateh bersebelahan sebuah kedai emas di pekan Pilah di sini sudah berusia 40 tahun.

Malah ada yang menyifatkan perniagaan apam balik yang diusahakan Almidar Saidalani, 63, dan Irnawati Yahni, 60, sebagai 'legend' kerana mampu bertahan sehingga kini.

Dengan perniagaan itu jugalah mereka mampu membesarkan empat anak yang kini semuanya sudah berkeluarga dan mempunyai pekerjaan sendiri.

Menurut Almidar, dia mula berniaga apam balik sejak tahun 1984 dan belajar membuatnya daripada beberapa 'guru' selama empat tahun.

Apam balik Almidar menjadi pilihan pelanggan pelbagai kaum.
Apam balik Almidar menjadi pilihan pelanggan pelbagai kaum.

"Selepas betul-betul berpuas hati, barulah saya berniaga sendiri dan dari dulu sampai sekarang, di sinilah lokasi saya berniaga.

"Ini juga sumber rezeki utama saya bagi membesarkan empat orang anak yang kini kesemuanya sudah pun berkeluarga.

"Hanya anak perempuan tunggal yang ikut jejak saya cari rezeki dengan berniaga apam balik dan yang lain bekerja dalam bidang berkaitan pemasangan alat pendingin hawa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Almidar berkata, jika dahulu sekeping apam balik hanya dijual 80 sen, namun dengan peredaran masa, harga itu terpaksa dinaikkan.

Ujarnya, makanan tradisional itu kini dijualnya pada harga antara RM3.50 kepada RM4.50, mengikut perisa dan mampu terjual sehingga 150 keping setiap hari.

Gerai apam balik Almidar dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
Gerai apam balik Almidar dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

"Harganya naik secara berperingkat dan kali pertama dinaikkan pada tahun 1990-an.

"Kalau dulu hanya ada apam balik biasa saja, tapi sekarang ada apam balik coklat dan pulut hitam, malah resipi digunakan sama saja dari dulu sampai sekarang," katanya.

Ditanya bagaimana dia mampu bertahan sehingga kini, Almidar berkata, kunci utamanya adalah bersabar dan jangan berputus asa.

Tambah Almidar, dia yakin sekiranya rezeki dicari adalah halal, ia akan dipermudahkan lama-kelamaan.

Lokasi gerai apam balik Almidar dan isteri yang tidak pernah berubah dari tahun 1984.
Lokasi gerai apam balik Almidar dan isteri yang tidak pernah berubah dari tahun 1984.

"Masa mula-mula berniaga itu memanglah susah dan pelbagai dugaan dilalui, tapi kita jangan putus semangat.

"Dulu pun bukan saya seorang saja yang jual apam balik di sini, tapi yang mampu bertahan sehingga kini hanya saya saja dan selagi mampu berniaga, saya akan terus berniaga," katanya.

Jelasnya, gerai apam baliknya dibuka seawal jam 10 pagi hingga 6 petang, setiap hari melainkan Ahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!