SPM masih relevan untuk kehidupan hari ini - Pakar
KUALA LUMPUR - Rata-rata pelajar yang pernah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pasti melalui dilema ke mana hala tuju selepas mendapat keputusan, sama ada terus bekerja atau menyambung pengajian ke menara gading.
Itulah situasi yang dialami oleh Muhammad Adam Syamil Shaharuddin, 18, pelajar lepasan SPM 2023 yang bercita-cita mahu menjadi tenaga pengajar dalam bidang sukan.
Walaupun tidak mendapat A dalam semua subjek apabila keputusan diumumkan pada 27 Mei lepas, remaja yang mahu ke menara gading itu masih memanjatkan rasa syukur kerana bukan sahaja lulus malah berjaya mencapai sasaran dalam subjek yang diharapkan.
Dalam masa yang sama, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pusu, Gombak itu turut berkongsi rasa kecewanya apabila ada rakan sekolahnya yang mensia-siakan lima tahun mereka di bangku sekolah menengah dengan memilih untuk tidak hadir semasa hari peperiksaan.
"Masa (peperiksaan) SPM mula, dah ada kawan-kawan yang saya kenal tak hadir. Saya dan rakan-rakan pun (ada) terfikir untuk tidak hadir (peperiksaan) kertas biologi tapi kami tergerak hati untuk jawab juga dan alhamdulillah lulus dan mencapai sasaran,” kata anak sulung daripada empat beradik itu ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Seramai 11,713 calon SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A-, dalam semua mata pelajaran dan pencapaian calon tahun berkenaan adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60 berbanding 4.74, pada tahun sebelumnya.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan ketika membuat pengumuman Laporan Analisis Peperiksaan SPM pada 27 Mei lepas.
Dalam sidang media selepas membuat pengumuman itu, beliau turut mengumumkan bahawa analisis keputusan SPM itu mengesahkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan itu dan pihaknya memandang serius dengan perkara itu.
Sebab tidak hadir SPM
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ismi Arif Ismail ketika diminta mengulas isu ketidakhadiran itu berkata, berdasarkan kajian dan pemerhatian sosial dan penyelidik serta aktivis masyarakat, antara sebab umum calon membuat keputusan untuk tidak mengambil peperiksaan SPM mungkin disebabkan tiada minat untuk melanjutkan pengajian dan tekanan ekonomi.
"Mereka melihat peperiksaan ini tidak penting, manakala mencari rezeki atau pendapatan tambahan untuk keluarga perlu diutamakan demi mengisi keperluan hidup pada masa ini.
"...tuntutan kemahuan seperti memiliki gajet, bersosial bersama rakan-rakan dan keluarga juga adalah punca mengapa SPM dilihat sebagai bukan keperluan bagi mereka,” katanya yang juga pakar rujuk utama yang menghasilkan Dasar Belia Malaysia 2015-2035 dan Indeks Belia Malaysia semenjak 2011 sehingga kini.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Bersekutu Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) Kementerian Belia dan Sukan itu berpendapat, akses pekerjaan sedia ada seperti perniagaan dalam talian dan penyertaan ekonomi gig - pekerjaan bebas bersifat sementara, fleksibel dan bukannya pekerja sepenuh masa - misalnya e-hailing dan lain-lain, berjaya mempengaruhi pelajar dalam mencari sumber pendapatan sendiri.
Ekonomi gig juga mampu memberikan manfaat kerja yang sesuai dengan keperluan semasa dan permintaan untuk gaya hidup yang fleksibel serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Menurut beliau, ada juga antara mereka yang akan kembali menduduki SPM apabila timbul kesedaran sesudah menceburi bidang pekerjaan yang memerlukan kelayakan SPM untuk kerjaya pilihan.
"Apabila mereka (sudah) sedar yang pendidikan dan latihan kemahiran untuk peningkatan kepakaran serta kompetensi masa depan memerlukan sijil kelayakan seperti SPM dan yang setara penting, sesetengahnya akan kembali mendapatkan SPM sebagai syarat untuk lebih berjaya secara stabil dan lestari,” ujarnya.
Utamakan ilmu pengetahuan
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Abd Razak Zakaria menegur sikap segelintir pelajar yang "belum menetas sudah dibilang,” apabila memilih untuk tidak menduduki peperiksaan SPM kerana beranggapan mereka boleh berjaya walaupun tidak memiliki sijil berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga UM (UMFRDC) berkata, pelajar sememangnya boleh berjaya walaupun tiada sijil SPM, namun perlu diingatkan sijil SPM adalah syarat untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.
"Bagaimana pelajar yang tiada SPM dapat bersaing dengan yang lain jika keperluan asas untuk mendapatkan kerja adalah SPM? Memang tanpa sijil SPM pun masih boleh berjaya tetapi mereka tetap ‘kalah’ dalam ilmu dan pengetahuan.
"Itu (sijil SPM) penanda aras tahap pendidikan sepanjang remaja berada di sekolah. Untuk berjaya dalam kehidupan perlu ada pengetahuan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan berapa ramai orang berjaya tanpa mendapat sebarang pendidikan kerana pengetahuan asas memungkinkan seseorang itu dapat menggapai kejayaan.
Tegasnya, sijil yang dianggap tidak penting bagi sesetengah masyarakat ini sekurang-kurangnya menunjukkan seseorang individu itu mendapatkan pendidikan formal untuk mencorakkan masa depan mereka yang lebih baik.
"Merujuk Bank Dunia, rata-rata murid di Malaysia menghabiskan selama 12.5 tahun di sekolah tetapi kualiti masa yang dihabiskan hanya bersamaan dengan 8.9 tahun sahaja.
"Jika mereka tidak menduduki SPM bermakna selama belajar di sekolah, tiada satu asas pun yang menunjukkan mereka mendapat pendidikan (formal) sehingga mereka gagal mendapat apa-apa sijil,” tambahnya merujuk kepada situasi semasa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang telah dimansuhkan dua tahun lepas.
Sistem pendidikan acuan sendiri
Menurut Abd Razak, pelajar di Malaysia seharusnya menjadikan pendidikan sebagai sesuatu yang penting, sekurang-kurangnya pada peringkat SPM dan selepas itu, mereka bebas memilih untuk sambung belajar ataupun tidak.
Malaysia, kata beliau, sedang membina generasi madani yang mantap bagi golongan muda masa kini untuk menjaga dan memimpin negara.
Oleh itu, jika golongan berkenaan dilahirkan tanpa asas pendidikan mapan, negara pastinya berhadapan dengan generasi yang gagal menentukan hala tuju diri sendiri.
Beliau menjelaskan, UMFRDC sebenarnya tidak berperanan untuk mengatasi masalah sebegini tetapi boleh menyedarkan pihak yang terlibat, terutamanya ibu bapa, agar peka akan keperluan pendidikan.
"Pencegahan awal tentang masalah ini diharap dapat membantu ibu bapa, sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani kemelut yang dilihat kecil pada awalnya tetapi kesannya pada masa hadapan sangat besar,” katanya.
Justeru itu, beliau memberikan cadangan dalam mencegah kemelut ini daripada berlarutan seperti mengenal pasti pelajar yang tidak mampu mengikuti aliran perdana lebih awal agar mereka boleh disalurkan kepada aliran kemahiran.
Menurut Abd Razak, pihak sekolah harus memainkan peranan dalam mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk gagal SPM supaya pelajar-pelajar ini tidak berada dalam aliran perdana dan diberikan pendidikan yang sesuai dengan kemampuan mereka.
"Sedarkan ibu bapa terhadap kemenjadian anak-anak mereka agar dapat membantu anak-anak tersebut mengikut saluran yang bersesuaian dengan kualiti dan kemampuan masing-masing.
"Malaysia sudah terlalu banyak mengubah sistem pendidikan negara sehingga tidak mengambil kira keperluan jiwa dan tahap penguasaan (pelajar). Mengambil modul dari negara lain dan cuba menerapkan dalam persekitaran negara ini bukan sesuatu yang baik untuk perkembangan individu,” ujar Abd Razak.
Beliau menegaskan, acuan setiap negara adalah berbeza-beza dan Malaysia seharusnya menyediakan pendidikan yang selari dengan keperluan negara dan masyarakat serta tidak perlu mengikut rentak negara lain kerana pelajar-pelajar di negara ini tidak mampu mencapai kualiti yang sama.
"Keperluan memberikan pendidikan selari dengan emosi dan rohani dilihat lebih berkesan memandangkan pelajar di negara ini lebih mudah dididik secara dalaman berbanding luaran,” tegasnya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!