Perancis garang tundukkan Luxembourg
PERANCIS mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Luxembourg dalam perlawanan persahabatan pra-Euro 2024 di Metz pada awal pagi Khamis.
Penyerang Randal Kolo Muani meletakkan Perancis di depan sejurus sebelum rehat apabila menanduk masuk hantaran tepat Kylian Mbappe, sebelum rembatan kencang Jonathan Clauss dari luar kotak penalti menggandakan kelebihan pada minit ke-70.
Mbappe menambah gol ketiga 15 minit kemudian dengan rembatan rendah untuk gol ke-47 peribadinya untuk Les Bleus.
Pemain berusia 25 tahun itu, yang memuktamadkan perpindahannya ke Real Madrid pada Isnin, kini telah terlibat dalam 80 gol untuk Perancis dalam 78 perlawanan.
“(Mbappe) adalah seorang pemain yang hebat sejak dia bersama kami.
“Dia melakukan kerja yang baik hari ini. Dia kurang bermain dalam beberapa minggu terakhir, tetapi dia tetap menunjukkan kualitinya.
"Dia telah menjadi contoh yang baik sepanjang minggu," kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.
Perancis akan menentang Kanada pada Ahad di Bordeaux dalam perlawanan pemanas badan terakhir mereka sebelum Euro 2024 yang akan bermula pada 14 Jun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!