15 tahun berjuang lawan kanser
IPOH - "Dunia saya bagaikan terbalik apabila disahkan menghidap kanser payudara. Sokongan suami dan keluarga membuatkan saya bangkit melawan penyakit ini."
Demikian perkongsian Linda Pereira, 62, yang menghidap kanser payudara sejak 15 tahun lalu.
Pesara doktor gigi di sebuah hospital swasta itu mengakui, pada peringkat permulaan sukar baginya menerima kenyataan dirinya diserang kanser yang menjadi pembunuh nombor satu wanita.
Menurutnya, meskipun bergelumang dalam dunia perubatan dan kesihatan, perasaan bimbang tetap menyelubungi diri sehingga takut untuk menjalani rawatan awal.
"Ketika itu saya hanya fikirkan apakah saya akan mati dan apa nasib dua anak saya yang masih kecil.
"Mujurlah suami sentiasa berada di sisi. Dia individu yang paling kuat memberi semangat dan bersedia untuk menghadapi tempoh sukar ini bersama-sama," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Fasa ke-6 Program Mamogram Percuma Etiqa bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.
Pelancaran disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Linda yang berasal dari Sabah berkata, selepas didiagnos ketulan pada bahagian payudara kirinya adalah kanser, dia terus mengambil langkah segera memulakan rawatan awal.
Dia dan suami yang ketika itu bertugas di Sarawak turut melakukan pengorbanan besar apabila berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan proses rawatan.
"Keputusan kami berpindah ke Semenanjung adalah tepat dan kami gembira kerana berjumpa doktor yang tepat. Doktor memberikan saya nasihat dan panduan mengenai perawatan penyakit ini.
"Saya sudah menjalani pembedahan mengeluarkan sel kanser di sebelah kiri dan ketika ini saya diminta untuk menjalani pemeriksaan secara berkala secara tahunan sahaja," katanya.
Linda kini bergerak aktif di bawah kempen Pink Unity dengan mengikuti program turun padang dan berkongsi pengalaman dalam usaha menyebar kesedaran terhadap kanser payudara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!