Kelantan setuju lulus cadangan pindaan Enakmen Kawalan Hiburan Baharu

Mohamed Fadzli memberitahu status terkini Enakmen Kawalan Hiburan yang telah lama tidak dipinda pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.
Mohamed Fadzli memberitahu status terkini Enakmen Kawalan Hiburan yang telah lama tidak dipinda pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bersetuju meluluskan cadangan Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 2024 selepas Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan berkuatkuasa selama dua dekad.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, draf Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Mei lalu.

Beliau memberitahu, kajian terhadap Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 (Enakmen Hiburan 1998) dilaksanakan oleh Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan negeri Kelantan.

"Berdasarkan kajian, jawatankuasa berkenaan mencadangkan memansuhkan enakmen sedia ada dengan menggubal Rang Undang-Undang Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan yang baharu.

"Rang Undang-Undang itu dijangka dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Norsham Sulaiman (Pas-Semerak) berhubung status terkini Enakmen Kawalan Hiburan yang telah lama tidak dipinda pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.

Beliau memberitahu, antara fokus penambaikan ialah kewujudan kesalahan baharu termasuk larangan terhadap aktiviti hiburan yang mengandungi, mempromosi, mempunyai atau diselitkan dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan akhlak, tatasusila dan moral.

Tambah Mohamed Fadzli, kesalahan lain ialah menyokong atau menormalisasikan lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) memecah belah keharmonian dan perpaduan kaum, menghina agama dan percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan dan kawalan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kadar denda bagi kesalahan dalam RUU ini dinaikkan bagi memberi pengajaran kepada individu atau perbadanan supaya mematuhi undang-undang selain menjaga kelakuan individu atau perbadanan dalam hiburan.

Katanya, pewujudan permohonan lesen, penjualan tiket dan serahan notis secara elektronik dengan mengambil kira medium alam maya iaitu secara elektronik.

"Kita mahu memantapkan prosedur penguatkuasaan dengan menambah baik penguatkuasaan berkaitan kuasa untuk masuk, kuasa untuk menyiasat dan menyita peralatan hiburan termasuk barangan elektronik.

"Selain itu, peruntukan berkenaan tanggungan kos bagi memindahkan, menyetor atau menyimpan barangan sitaan yang menjadi hutang kepada pihak berkuasa negeri atau pihak berkuasa tempatan yang boleh dijadikan hasil kepada kerajaan negeri," katanya.

Jelasnya lagi, draf Rang Undang-Undang berkenaan digubal dengan mengambil kira dasar semasa kerajaan negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!