Pulau Pinang, JPN beri perhatian isu penggunaan bahasa Melayu

Mohamad
Mohamad
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang untuk memastikan isu arahan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi sekurang-kurangnya satu kelas diberi perhatian.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai aduan yang disuarakan oleh Lembaga Sekolah bagi 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) berhubung arahan pelaksanaan tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka dan mengambil serius semua kebimbangan yang disuarakan dan komited untuk mencari penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak.

"Kerajaan negeri mengakui kepentingan penggunaan bahasa yang sesuai dalam proses pembelajaran. Ia amat penting.

"Kerajaan negeri, JPN Pulau Pinang serta kerjasama semua pihak mampu mencari penyelesaian dan kesepakatan untuk memastikan semua pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti demi kebaikan generasi masa depan kita.

"Kerajaan negeri bersama JPN Pulau Pinang akan memastikan isu ini diberi perhatian untuk pelaksanaan dengan cara yang paling berkesan, dengan mengambil kira keperluan semua sekolah," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Jelasnya, kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh daripada JPN Pulau Pinang berkenaan isu yang dibangkitkan itu.

Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, di Pulau Pinang, sebanyak 50 sekolah menegah dan 35 sekolah rendah telah terlibat dengan program Program Dual Language Programme (DLP).

Artikel Berkaitan:

Program DLP ialah pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris dan ia dimulakan secara rintis pada tahun 2016 melibatkan 300 sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada Rabu, media melaporkan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 SMJK dan SMC di Pulau Pinang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!