Persoal penggunaan bahasa Melayu cubaan mencabul undang-undang negara - GPMS

Muhammad Danial
Muhammad Danial
A
A
A

GEORGE TOWN - Tindakan pihak yang mempersoalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah diibaratkan sebagai cubaan mencabul undang-undang negara.

Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Muhammad Danial Alimin berkata, ini kerana jelas dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menyatakan bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

Menurutnya, bahasa Melayu juga perlu digunakan dalam sebarang penulisan seperti yang ditentukan melalui undang-undang oleh Parlimen selain digunapakai dalam semua urusan rasmi termasuk pendidikan di sekolah-sekolah.

Kata beliau lagi, adalah menjadi satu kewajipan semua pihak untuk akur terhadap apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

"GPMS Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu dapat memastikan keseragaman dalam sistem pendidikan negara. Pada masa yang sama, ia membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang mendapat pendidikan yang sama tanpa mengira kaum dan agama.

"Hal ini penting untuk mengurangkan jurang perbezaan sosial dan memastikan kesaksamaan peluang selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mana, akta ini mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan rasmi kerajaan termasuk sektor pendidikan.

"Akta ini juga menetapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi, komunikasi dan prosedur kerajaan termasuk institusi pendidikan awam. Sekolah yang menolak penggunaan bahasa Melayu dianggap melanggar ketetapan yang ditetapkan oleh akta ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Muhammad Danial, GPMS Pulau Pinang kesal dengan tindakan kumpulan yang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah selaras dengan Akta Pendidikan 1996 Seksyen 17(1).

Artikel Berkaitan:

"Di dalam akta ini jelas memperuntukkan bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

"Kita ingin menegaskan bahawa secara asasnya sekolah-sekolah di bawah seliaan kerajaan diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menolak penggunaan bahasa Melayu di sekolah jelas melanggar akta ini," ujar beliau.

Menurutnya, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan salah satu elemen utama dalam membentuk identiti nasional.

"Penggunaan bahasa Melayu di sekolah dapat membantu memupuk rasa cinta dan bangga terhadap negara dalam kalangan pelajar.

"Sehubungan itu, penggunaan bahasa Melayu di sekolah adalah satu kewajipan yang harus dipatuhi bagi menghormati serta mengukuhkan peruntukan undang-undang negara," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Danial berkata, daripada aspek undang-undang Malaysia, penggunaan bahasa Melayu di sekolah adalah satu kewajipan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, akta-akta yang berkaitan dan dasar pendidikan negara.

"Menolak penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang ini malah menjejaskan usaha memupuk perpaduan dan identiti nasional.

"Tambahan pula, penggunaan bahasa Melayu di sekolah bukan sahaja penting untuk pemeliharaan bahasa itu sendiri malah untuk membina identiti nasional, perpaduan sosial dan pemeliharaan warisan budaya," tambahnya.

Beliau berkata lagi, menolak penggunaan bahasa Melayu di sekolah akan memberi impak negatif kepada usaha-usaha tersebut dan menjejaskan integrasi serta keharmonian masyarakat.

"Oleh itu, adalah penting untuk mematuhi dan menghormati penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita.

"GPMS Pulau Pinang sentiasa menyokong dan mendukung pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia dalam apa sahaja usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!