Hari mengundi PRK Sungai Bakap 6 Julai

Azmi (tengah).
Azmi (tengah).
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang diadakan pada 6 Julai depan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 22 Jun.

Dengan itu, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 5 Julai.

"Bagi maksud menjalankan PRK DUN N20 Sungai Bakap, SPR menetapkan hari undi awal pada 2 Julai," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Sungai Bakap di sini pada Khamis.

Menurutnya, urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara telah dibuka sekarang melalui laman sesawang www.spr.gov.my.

"Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A adalah 20 Jun manakala kategori 1B dan 1C masing-masing pada 13 Jun," katanya.

Kategori 1A merujuk kepada petugas SPR, anggota polis, tentera dan media.

Warganegara yang berada di luar negara adalah kategori 1B sementara 1C bagi agensi dan organisasi.

Artikel Berkaitan:

PRK Sungai Bakap menyaksikan seramai 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Sebanyak RM2.1 juta peruntukkan diperlukan untuk menjalankan PRK tersebut.

Ujar Azmi, Dewan Serbaguna Jawai yang terletak di Jalan Serindit, Taman Desa Jawi akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

"SPR telah melantik seorang pegawai pengurus dan dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus," katanya.

Tambah beliau, seramai 552 petugas akan dilantik bagi menjalankan proses pengundian tersebut.

"Sebanyak sembilan buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 saluran dan satu tempat pengundian awal akan digunakan," ujar Azmi.

PRK Sungai Bakap merupakan PRK ke-8 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 PRU-15 pada November 2022.

Ia membabitkan PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya pada 24 Mei lalu selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.

Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!