Korban di dalam atau luar negara, mana lebih afdal?

IBADAH korban sangat dituntut ke atas setiap Muslim yang berkemampuan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
IBADAH korban sangat dituntut ke atas setiap Muslim yang berkemampuan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

SETIAP kali masuknya musim korban, persoalan tentang ibadah itu sama ada dilakukan di dalam atau luar negara pasti timbul.

Sementelah sekarang terdapat banyak pakej-pakej korban yang ditawarkan. Hanya kita sahaja yang boleh membuat pilihan mengikut poket masing-masing.

Segelintir orang mungkin memilih untuk melakukan ibadah korban di luar negara lantaran bajet kecil dimilikinya.

Ada juga yang lebih selesa melaksanakannya di dalam negara atau kariah tempat tinggalnya sendiri. Dapat juga mereka melihat sendiri haiwan korban masing-masing.

Antara korban di dalam negara dan luar negara, mana satukah yang lebih afdal?

Pendakwah Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, baik al-Quran mahupun hadis, tidak terdapat mana-mana nas khusus yang memerihalkan ibadah korban wajib dilaksanakan di suatu tempat tertentu.

“Ini kerana ia merupakan suatu ibadah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut untuk melakukannya.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, terdapat beberapa sunat bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan kelebihan dan galakan menunaikan ibadah korban di tempat sendiri,” katanya sebagaimana dipetik menerusi komentarnya di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Seandainya seseorang berkemampuan untuk memilih membuat korban di dalam negara, Asma’ menjelaskan, ia adalah sangat digalakkan kerana terdapat banyak kelebihan sebagaimana dijelaskan dalam hadis-hadis yang masyhur.

“Bagi golongan yang benar-benar berkemampuan pula, dibolehkan untuk melaksanakan kedua-duanya sekali iaitu di dalam dan luar negara.

“Kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban di dalam negara, maka bolehlah memilih untuk mengerjakannya di luar negara untuk merebut pahala sunat muakkad,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin menjelaskan, terdapat dua perkara utama perlu diberi perhatian apabila membincangkan tentang pelaksanaan ibadah korban di luar negara.

Pertama sekali, ia melibatkan proses mewakilkan individu untuk melakukan sembelihan di sana.

Kedua, kita sendiri yang melaksanakannya ketika berada di negara tersebut.

“Dalam dua situasi itu, para ulama menyatakan tiada masalah dan harus hukumnya melakukan korban di luar negara.

“Maknanya, kita boleh buat (ibadah korban yang sunat) di mana-mana saja. Perkara yang diambil kira ialah tempat ketika orang itu melaksanakan korban, bukannya tempat asal kelahirannya,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus sebelum ini.

Mohd Hapiz yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah itu menjelaskan, tempat bukanlah syarat utama untuk seseorang melakukan ibadah korban.

Tegas beliau, penetapan tempat sama ada di dalam negara, kawasan lain atau penempatan orang miskin bukanlah rukun atau syarat sah korban.

“Syarat utama ibadah korban termasuk juga akikah, ia hanya melihat kepada pematuhan semua rukun dan syarat sembelihan korban.

“Ia termasuklah seperti haiwan korban tersebut memiliki sifat sempurna dan orang yang hendak buat korban itu, sama ada korban wajib atau sunat,” katanya sambil menjelaskan orang yang berkorban itu mempunyai pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.

Kepada satu soalan, Mohd Hapiz menjawab: “Sama ada dilakukan di dalam negara ataupun luar negara, ibadah korban berkenaan tetap mendatangkan pahala.

“Cuma isu tambahan, pahala itu bergantung kepada situasi, keadaan dan suasana pada ketika itu. Begitu juga pahala korban diperoleh.

“Namun, adakalanya keperluan ibadah tersebut tidak tercapai dengan baik jika berlakunya pembaziran daging korban atau terlalu banyak wang tunai yang dibelanjakan untuk ibadah korban sunat itu,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!