Keluarga SA Abdullah bangga jasa bapa dikenang

Zairil (enam dari kiri) menerangkan tentang penukaran nama jalan kepada Ahmad Jamil (berkerusi roda) pada Majlis Pertukaran Nama Jalan pada Khamis.
Zairil (enam dari kiri) menerangkan tentang penukaran nama jalan kepada Ahmad Jamil (berkerusi roda) pada Majlis Pertukaran Nama Jalan pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seluruh keluarga Datuk SA Abdullah Bukhari berbangga apabila sebahagian Jalan Ayer Itam di sini dinamakan sempena nama arwah bapa mereka.

Pertukaran nama jalan ini adalah bagi mengiktiraf dan mengenang jasa serta sumbangan tokoh besar itu terhadap perkembangan syiar Islam di Pulau Pinang.

Anak kelima Allahyarham SA Abdullah, Mohamed Jaafer Sadiq, 55 berkata, keluarganya amat gembira apabila permohonan yang dibuat sejak setahun lalu telah diluluskan oleh kerajaan Pulau Pinang.

"Kami amat seronok apabila arwah bapa dapat anugerah ini. Namanya diabadikan di sebahagian Jalan Ayer Itam menandakan semua jasanya selama ini dihargai. Kami telah memohon untuk menamakan salah satu jalan di George Town dengan nama arwah bapa.

"Ada beberapa jalan yang kami mohon seperti Jalan Brani, Jalan Singapore dan Jalan Tekong. Bagaimanapun, permohonan kami diluluskan di sebahagian Jalan Ayer Itam.

"Syukur, setelah setahun memohon, kami mendapat berita gembira ini dua bulan lalu. Kami puas hati kerana jalan yang dinamakan dengan nama arwah ini terletak di sebelah sekolah dia mengajar dulu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor Lelaki Pulau Pinang," katanya kepada media di sini.

Sebelum itu, Mohamed Jaafer bersama abangnya, Ahmad Jamil dan beberapa ahli keluarganya hadir ke Majlis Pertukaran Nama Jalan yang disempurnakan oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari di sini pada Khamis.

Mohamed Jaafer
Mohamed Jaafer

Artikel Berkaitan:

Di majlis sama, Zairil turut mengumumkan Jalan Tengah di Bayan Lepas telah ditukar kepada Solok Datuk Ismail Hashim.

Dalam pada itu, Zairil berkata, pertukaran nama sebahagian Jalan Ayer Itam ke Jalan SA Abdullah Bukhari adalah berdasarkan beberapa pertimbangan antaranya pertukaran nama jalan itu telah memenuhi syarat-syarat daripada Garis Panduan Penentuan Nama Geografi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi Tahun 2019.

"Selain itu, jalan yang dicadangkan merupakan jalan sedia ada sepanjang 400 meter di antara Jalan Scotland dengan Jalan Ayer Itam utama berhampiran SMKA Al-Mashoor Lelaki.

"Pertukaran ini juga sebagai mengenang jasa Allahyarham yang sangat aktif dalam menyampaikan dakwah dan menjadi rujukan dalam pengajian Hadis Al-Bukhari bagi masyarakat Islam di Pulau Pinang.

"Allahyarham juga berkebolehan menyampaikan ceramah dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, Tamil dan Arab," katanya.

Sementara itu, Zairil berkata, pertukaran nama sebahagian Jalan Tengah ke Solok Datuk Ismail Hashim dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan antaranya bagi mengiktiraf dan mengenang jasa serta sumbangan Ismail Hashim kepada Pulau Pinang khususnya di kawasan Bayan Lepas.

"Allahyarham merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas daripada tahun 1964 sehingga 1974.

"Jalan yang dicadangkan merupakan jalan sedia ada sepanjang 190 meter di antara Jalan Datuk Ismail Hashim dengan Persiaran Bayan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!