[VIDEO] Hasrat penghulu tunai umrah dengan isteri tak kesampaian

A
A
A

KAMPAR - Penghulu Mukim Teja yang maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler berhasrat untuk menunaikan umrah bersama isteri dan anaknya selepas pencen tahun depan.

Anaknya, Abu Dzar Hanapiah, 29, berkata, hasrat arwah ayahnya, Hanapiah Ismail, 59, pernah disampaikan kepada maknya sebelum ini.

"Mak saya cerita arwah nak bawa mak dan adik saya pergi umrah. Mak saya pula sakit strok. Lepas pencen memang dia cakap nak bawa mereka pergi umrah," katanya sambil menangis ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Tualang di sini pada Khamis.

Menurutnya, berita kejadian tersebut dimaklumkan oleh sepupunya dan selepas tiba di tempat kejadian mendapati ayahnya sudah meninggal dunia.

"Arwah seorang yang amat baik. Bukan sahaja dengan anak-anak tapi masyarakat. Kali terakhir kami jumpa pada Isnin lepas. Arwah pesan jangan tinggal solat. Masa nak balik dia cium kami semua," katanya.

Abu Dzar menyiram air ke pusara bapanya.
Abu Dzar menyiram air ke pusara bapanya.

Abu Dzar yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu memaklumkan ketika kejadian Allahyarham baru selesai menunaikan solat Asar sebelum terlibat dalam kemalangan di kawasan terbabit.

Terdahulu, Allahyarham dibawa ke Masjid Nurul Hamidiyah Tanjung Tualang sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Tualang kira-kira jam 9.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang hadir terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat setempat memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Allahyarham yang tinggal di Kampung Air Papan, Tanjung Tualang meninggalkan seorang isteri, tiga anak dan seorang cucu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang besar buat warga daerah Kampar khususnya di Mukim Teja.

Abu Dzar menatap wajah ayahnya buat kali terakhir di Masjid Nurul Hamidiyah Tanjung Tualang sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Tualang di Kampar pada Khamis.
Abu Dzar menatap wajah ayahnya buat kali terakhir di Masjid Nurul Hamidiyah Tanjung Tualang sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Tualang di Kampar pada Khamis.

Menurutnya, Hanapiah merupakan pemimpin masyarakat yang berdedikasi dan banyak menyumbang tenaga serta idea buat negeri Perak.

"Arwah sebelum ini berkhidmat di Kuala Kangsar dan beberapa tempat di Perak dan yang terakhir sebagai Penghulu Mukim Teja. Dia sepatutnya bersara tahun depan namun kejadian yang menimpanya amat mengejutkan.

Kerja-kerja pembersihan batuan tar yang tumpah di lokasi kemalangan.
Kerja-kerja pembersihan batuan tar yang tumpah di lokasi kemalangan.

"Kami sebenarnya baru sahaja mengadakan majlis APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) dan arwah juga turut serta. Namun kejadian yang berlaku ini amat menyedihkan kami," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja membersihkan tumpahan batuan tar sedang dibersihkan oleh pihak berkaitan.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Penghulu Mukim Teja itu maut dalam keadaan tertimbus muatan batu tar selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam di Kilometer 4 Jalan Tanjung Tualang-Malim Nawar itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Treler yang membawa muatan batu tar itu mengalami kerosakan pada penyambung treler menyebabkan kenderaan berat itu terangkat dan hilang kawalan.

Keadaan itu mengakibatkan muatan yang dibawa tumpah di atas jalan dan menimbus mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!