SPR belum terima notis fail petisyen PRK Kuala Kubu Baharu

SPR belum menerima sebarang notis pemfailan petisyen oleh PN berkaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu. Foto hiasan
SPR belum menerima sebarang notis pemfailan petisyen oleh PN berkaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang notis pemfailan petisyen oleh Perikatan Nasional (PN) berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom menerusi sidang akhbar selepas mengumumkan tarikh penting PRK Sungai Bakap di sini pada Khamis.

"Setakat ini tidak ada," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan isu tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan fakta dan bukti salah laku dalam PRK Kuala Kubu Baharu sebelum mengemukakan petisyen kepada SPR.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu menyaksikan PH mempertahankan kerusi DUN itu selepas calonnya Pang Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabar dari PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi; calon bebas, Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan proses kajian persempadanan semula di Sarawak, Azmi enggan mengulas lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Saya tiada komen, setakat ini di SPR kita tidak berbincang lagi," katanya.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh sebelum ini berkata, proses kajian persempadanan semula oleh suruhanjaya terbabit di Sarawak telah bermula tahun lalu manakala di Sabah pada 2025, dan di Semenanjung Malaysia pada 2026.

Kajian akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun sebelum laporan dapatan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!