Bekas jurutera tidak mengaku minta suapan RM30,000
ALOR SETAR - Seorang bekas jurutera konsultan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan meminta suapan sebanyak RM30,000 daripada sebuah syarikat swasta sebagai balasan meluluskan kerja pembangunan semula pusat peranginan di Langkawi, tujuh tahun lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Syaiful Marzuki Roslan, 43, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan pada Khamis.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai jurutera awam Solusi Consult pada 2017 telah meminta bagi dirinya suapan RM30,000 sebagai balasan kelulusan kemajuan kerja dilakukan Seng Heng Piling Engineering bagi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kelulusan tersebut bertujuan membolehkan bayaran dibuat TNB kepada Seng Heng Piling Engineering bagi kerja pembangunan semula yang dilaksanakan di tapak projek pusat peranginan berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Bilik Konsultan, Pejabat Tapak Kembang Serantau di Pantai Tengah, Mukim Padang Matsirat pada 18 April 2017.
Berdasarkan pertuduhan berkenaan, Syaiful didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rasyidah Murni Adzmi dan Muhammad Taufik Awaludin memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 berserta seorang penjamin ke atas tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser dan Nur Sarah Syamimi Syafie pula memohon kadar minimum dikenakan kerana tertuduh tidak lagi bekerja sebagai jurutera dan kini melakukan kerja sambilan dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan selain menanggung isteri, lima anak yang masih bersekolah termasuk ibunya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya.
Mahkamah turut menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar pada Khamis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!