Jurutera mati dalam kereta: Abang terkilan tak temui Hamizan lebih awal
JOHOR BAHRU - Biarpun jenazah Muhammad Hamizan Ramli, 33, yang dilaporkan hilang sejak 19 Mei telah selamat dikebumikan, namun abangnya, Muhammad Haziq Ramli, 34, tetap berasa terkilan kerana gagal menemui adiknya itu lebih awal.
Menurut Muhammad Haziq, dia sememangnya tidak menyangka adiknya itu akan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa lagi bersama kereta miliknya di Taman Sentosa, di sini.
“Memang saya terkejut apabila terima berita adik saya yang hilang hampir sebulan ditemui telah meninggal dunia dalam keretanya.
“Paling tak sangka, boleh pula jumpa di Johor Bahru, sedangkan kami semua sibuk mencari ke mana dia hilang di kawasan Pengerang, Bandar Penawar dan Kota Tinggi.
“Walaupun reda, tapi saya tetap terkilan kerana tak jumpa dia lebih awal dan apatah lagi bila dia ditemui di kawasan yang memang laluan orang ramai, tepi jalan dan dekat dengan sebuah restoran di Taman Sentosa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Untuk rekod, Muhammad Hamizan yang bekerja sebagai jurutera tapak di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang, dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu.
Difahamkan, anak kedua daripada empat beradik itu juga kali terakhir dilihat rakan sekerjanya pada petang 18 Mei lalu sebelum dia tidak datang bekerja mulai 19 hingga 22 Mei lalu.
Bagaimanapun, misteri kehilangan Muhammad Hamizan akhirnya terjawab apabila dia ditemukan tidak lagi bernyawa di dalam kereta miliknya di Taman Sentosa, sekitar jam 11 pagi, pada Rabu.
Punca kematiannya masih dalam siasatan dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Kota Tinggi untuk urusan pengebumian.
Jenazah Allahyarham, kemudiannya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Jalan Lukut, Kota Tinggi pada malam Rabu setelah urusan bedah siasat selesai dibuat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Tambah Muhammad Haziq, setelah mengetahui berhubung penemuan adiknya itu, dia turut memaklumkan perkara tersebut kepada ibu dan bapanya di Kota Tinggi.
Bagaimanapun katanya, dia tidak memberitahu secara terus kepada ibu bapanya, tetapi memaklumkannya dahulu kepada imam surau di kampung untuk menyampaikan berita tersebut kepada mereka.
“Saya juga maklumkan berita ini kepada ibu dan ayah di kampung, tapi melalui imam surau kerana saya tak mahu mereka jadi terlalu terkejut.
“Maklumlah, selama ini, kita mencari di tempat lain, tapi tak jumpa, rupa-rupanya dia di sini, di kawasan bandar dan berada di tepi jalan pula tu.
“Bila ibu saya telefon, barulah saya maklumkan sendiri mengenai berita kematian adik saya itu kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara Muhammad Hamizan, Alwee Osman, 52, tidak menafikan mereka sekeluarga memang terkejut mendengar berita kematian tersebut.
Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga tetap menerima segala yang telah berlaku sebagai qada dan qadar ALLAH SWT.
“Memang kami terkejut dengan berita kematiannya, tapi kami terima dan reda dengan qada dan qadar tuhan.
“Lagi pun, kita telah berusaha, mencari dia di serata tempat, tapi ternyata dia berada di bandar Johor Bahru,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!