Pengerusi ASEAN 2025: Pimpinan Malaysia bersandarkan prinsip Madani

Anwar menyampaikan ucaptama pada Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-37 pada Khamis. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucaptama pada Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-37 pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dalam persediaan sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan berusaha untuk menerajuinya dengan mengetengahkan kepimpinan yang bersandarkan kepada nilai-nilai moral yang tinggi sepertimana yang ditekankan dalam prinsip Malaysia Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia memerlukan pendekatan sivil dan inklusif yang menjunjung kesalinghubungan.

Beliau berkata, dalam menegakkan prinsip berkecuali dan kerjasama Malaysia, Madani yang ideal menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk bertindak secara hormat sambil menjadi pemain aktif dalam membentuk rantau Asia Tenggara.

"Sememangnya bagi Malaysia, ASEAN lebih daripada tonggak dasar luar kita, ia juga merupakan suatu kuasa yang dilipat ganda, dan satu aset yang amat berharga untuk melaksanakan agensi kita,” katanya dalam ucaptama pada Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-37 di sini pada Khamis.

Anwar turut menekankan kepentingan bagi blok serantau itu untuk mula menangani beberapa mekanismenya seperti Forum Serantau ASEAN, mesyuarat ASEAN Plus dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dilihat tidak digunakan sepenuhnya, sedangkan pada satu ketika ia cukup berkuasa.

Perdana Menteri berkata, perlu juga ditekankan kepada hakikat bahawa pembangunan masa depan ASEAN berkembang bersama dengan negara anggotanya, kepentingan nasional mereka, dan apa yang boleh dicapai secara kolektif oleh perkumpulan itu.

"Dalam suasana tidak menentu ketika ini, adalah penting untuk menggandakan usaha kita ke arah mengukuhkan lagi ASEAN, menjadi platform utama menguruskan hal ehwal serantau," katanya sambil menambah bahawa blok serantau itu perlu beralih daripada retorik semata-mata kepada tindakan konkrit dan fokus kepada mencari jalan untuk menyampaikan aspirasinya.

Berhubung krisis di Myanmar, Anwar berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN lain dan Rakan Dialog yang mempunyai pengaruh ke atas Myanmar, bagi mendorong kepada keamanan, mekanisme kemanusiaan yang lebih berkesan dan penglibatan politik semua pihak berkepentingan yang berkaitan di negara itu.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu sebarang usaha sekalipun hanya boleh dilaksanakan ASEAN apabila pelbagai pihak di Myanmar bersedia untuk berbuat demikian, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita tidak boleh mencuba untuk bawa usaha-usaha serampang dua mata secara lebih kreatif. Status quo itu tidak statik," katanya.

Beliau berkata, dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar, kelihatan sudah mula ada perbincangan yang panjang lebar dan sukar, mengenai bagaimana bentuk kepimpinan negara itu di masa hadapan, termasuk kemungkinan kemunculan sistem yang bersifat seumpama persekutuan.

"Semasa ia bukan tempat kita untuk menentukan apa yang terbaik bagi penduduk Myanmar, sudah menjadi tanggungjawab kepada kita, negara rakan dan jiran, untuk menghulur sebarang bantuan yang termampu," katanya.

Anwar berkata, Malaysia secara konsisten menyeru untuk menamatkan keganasan yang berlarutan dan sejarah peminggiran politik terhadap semua rakyat Myanmar, di samping pematuhan kepada Konsensus Lima Perkara yang dicapai bersama di Jakarta, pada April 2021.

Mengenai dasar luar pula beliau berkata Malaysia sangat bebas, dan negara ini tidak mahu dilihat mengikut sahaja telunjuk negara-negara kuasa besar dalam melihat dunia, dan akan terus berusaha untuk menjaga kepentingan nasional serta strategiknya mengikut acuan sendiri.

"Dalam perkara ini, Malaysia mengekalkan hubungan yang kukuh dan bermanfaat dengan kedua-dua China dan Amerika Syarikat.

"Pada masa yang sama, Malaysia akan meneruskan hubungan yang produktif dan bermakna dengan rakan kongsi kami yang lain - sama ada mereka rakan kongsi Strategik dan Komprehensif Strategik yang telah lama wujud, atau rakan di Selatan Global," katanya.

Anwar berkata, Malaysia mempunyai sejarah yang membanggakan sebagai sebahagian daripada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali semasa Perang Dingin, dan menambah bahawa dengan kekal setia kepada prinsip-prinsip berkecuali, negara ini telah membuktikan bahawa usaha mengambil sikap dinamik berkecuali bukan sahaja boleh dilaksanakan, tetapi memang amat diperlukan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!