Bahasa Melayu dalam DLP: Razali dakwa Fadhlina tidak tegas

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris mempersoalkan sikap Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek yang didakwa tidak tegas dalam menangani isu dibangkitkan Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang.

Ia susulan membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Dual Language Programme (DLP) yang dijalankan di sekolah mereka.

Menurutnya, Fadhlina dilihat seolah-olah membiarkan pihak terbabit yang mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

"Tindakan PIBG itu seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan yang sangat jelas dalam soal kemartabatan bahasa Melayu di negara ini.

"Apakah dalam isu ini menyentuh soal 3R? Rakyat memandang serius dalam hal ini, kerana ada pihak yang semakin berani mempersoalkan agenda dan polisi kerajaan yang sudah tentu ada kebaikan bersama.

"Apa masalahnya mengenai arahan kementerian yang hanya ingin menguatkuasakan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini," soalnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, media laporkan bantahan dikemukakan oleh sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu, setelah mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Mereka juga menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains serta Matematik.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengecam alasan yang mengatakan perlaksanaan dasar berkenaan menimbulkan kekeliruan dan ketidakseimbangan psikologi dalam kalangan pelajar.

Sedangkan, tegas beliau, kekeliruan yang timbul adalah daripada pihak yang masih tidak menyedari bahawa bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan dan muhibbah.

"Jangan remehkan sistem pendidikan kebangsaan. Jangan pula memberi ruang semula ada pihak lain membangkitkan soal aliran sekolah.

"Perlu diingatkan seharusnya bahasa Melayu dimartabatkan, bahasa-bahasa lain terus terpelihara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!