Pengasuh mengaku salah kasari kanak-kanak 17 bulan

Mahkamah Kajang.
Mahkamah Kajang.
A
A
A

KAJANG - Seorang pengasuh pusat jagaan kanak-kanak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan yang mungkin akan menyebabkan kecederaan, bulan lepas.

Nor A’in Ismail, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk keputusan kes, selepas menerima laporan perubatan mangsa.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang mengandung lapan bulan, didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada kanak-kanak itu didapati dengan sengaja mendedahkan mangsa, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di pusat asuhan itu di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada jam 4.15 petang, 28 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1) seksyen sama, memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh dengan syarat difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

“Ia termasuk syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Wan Guan Hui yang mewakili tertuduh, merayu ikat jamin itu dikurangkan kerana dia tidak pernah melakukan kesalahan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mazuliana membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Pada Isnin lalu, polis menjalankan siasatan berhubung seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera di sebuah tadika dekat Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ibu mangsa dia dimaklumkan oleh pengasuh tadika bahawa anaknya telah diperlakukan dengan kasar oleh seorang pengasuh lain.

Menurutnya, mangsa dikatakan telah ditarik rambut serta dipicit hidung ketika disuap makan sehingga mangsa mengalami sedikit kecederaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, pemilik pusat asuhan sama, Chan Pei Kuan, 34, didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pusat jagaan kanak-kanak itu beroperasi tanpa lesen, Mei lalu.

Majistret, Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz mengarahkan wanita itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Pei Kuan didapati menjalankan taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di sebuah premis di Jalan Temenggung 16/7 Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat pada jam 7.30 malam, 28 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang boleh dihukum di bawah seksyen 6(2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!