[VIDEO] Penyasaran subsidi diesel: RON95 jadi sasaran penyeludup
TUMPAT - Langkah kerajaan mengumumkan penyasaran subsidi diesel menyebabkan penyeludup mengubah taktik dengan menyasarkan petrol RON95 sekali gus menyaksikan peningkatan penyeludupan bahan api tersebut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, maklumat rasmi tersebut hasil pemantauan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa yang ditempatkan di lapan pintu masuk utama di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.
"Ini merupakan hasil pemantauan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 3.0 dalam tempoh lima bulan bermula Januari hingga Mac lalu.
"Sebelum ini kita lihat trend penyeludupan diesel, namun sejak pengumuman penyasaran bahan api itu oleh kerajaan penyeludup beralih pula kepada petrol RON95.
"Pada masa sama, mereka turut mengubah taktik dengan membuat pembelian secara berulang di stesen-stesen minyak menggunakan kenderaan sedan yang telah diubah suai dengan tujuan penyeludupan. Sebelum ini pacuan empat roda," katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie.
Menurut beliau, penyasaran subsidi ini merupakan pengurusan risiko yang diambil oleh kerajaan dalam mengurangkan penyelewengan.
Ujarnya, hal ini harga disesel akan diapung dan diselaras.
Armizan memberitahu, pengapungan harga itu bukan bermaksud kerajaan menarik atau menghapuskan susbsidi.
"Sebaliknya susbsidi itu disasarkan kepada mereka yang memerlukan dan layak menerusi Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) untuk kenderaan jenis barangan, pengangkutan awam dan isi rumah yang menggunakan bahan api itu," katanya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!